KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan membuat saringan kesihatan di semua penjara di seluruh negara walaupun berlaku satu kes positif Covid-19 melibatkan banduan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, saringan kesihatan hanya akan kepada banduan di penjara berkenaan sahaja.
“Prinsip kita tetap sama. Kita hanya buat saringan kesihatan di kawasan terlibat saja. Katakan kes positif Covid-19 dikesan di penjara Sungai Buluh, maka (saringan) dibuat di penjara itu sahaja.
“Bukan secara menyeluruh di penjara lain. Begitu juga di depot tahanan. Kalau berlaku di Depot Tahanan Semenyih, kita buat di situ saja. Kecuali ada positif Covid-19 di depot atau penjara lain,” katanya pada siding media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata, mulai hari ini juga kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat saringan ke atas 600 banduan di penjara Sungai Buloh.
Kata beliau, saringan kesihatan juga akan dilakukan ke atas kira-kira 700 kakitangan penjara memandangkan mereka mempunyai kontak rapat dengan banduan ketika dalam sesi pengawasan.
Ditanya apakah kerajaan akan memberi kelonggaran kepada ahli keluar melawat banduan, tegasnya, larangan itu masih berkuatkuasa sehingga kini.
“Sejak awal PKP lagi kita tidak benarkan ahli keluarga atau waris melawat penjara. Kita bimbang yang datang dari luar itu membawa penyakit. Jadi, kita tidak benarkan sampai sekarang.
Mengenai seorang lelaki warga asing yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin Covid-19 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, semalam, Ismail memberitahu, warga Rohingya itu sudah ditangkap dan dimasukkan semula ke pusat kuarantin berkenaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: