Kes seperti Che Nah Nasi Dagang ini akan dibantu mendapatkan lesen supaya terus mencari rezeki halal untuk menyara keluarga.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa cuba menerapkan falsafah atau pendekatan lebih lunak di Bahagian Pelesenan dan Penguasa Tempatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika berdepan dengan penjaja tidak berlesen.

Katanya, beliau tidak setuju tindakan menghukum terhadap mereka yang mencari rezeki secara halal untuk menyara keluarga dan terpaksa menggunakan lot parkir sebagai lokasi berniaga.

“Maka falsafah yang harus kita terapkan terutama di agensi pelesenan dan penguasa-penguasa tempatan termasuk DBKL bukanlah soal menghukum, malah tidak salah kita ambil pendekatan yang lebih lunak, memudahkan orang kita mencari rezeki, cari makan dan asalkan orang kita sanggup bekerja.

“Yang saya risau ialah yang tidak mahu bekerja sehinggakan peluang pekerjaan itu diambil oleh pendatang asing. Tapi kalau orang kita nak bekerja dan kalau di bandaraya ini mereka menghadapi masalah, saya tak ada masalah untuk membantu memudahkan mereka bekerja (berniaga),” katanya dalam sesi Live Annuar di Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas perkara itu selepas gambarnya bersama seorang peniaga foodtruck di Jalan Setia Murni, Kuala Lumpur tular dan mendapat komen positif daripada netizen.

Menurut Annuar, dalam kejadian pagi Isnin lalu, sebelum ke pejabat, beliau merayau di kawasan itu dan ternampak mini foodtruck Kak Nah, lalu singgah berborak, termasuk menanyakan berapa lama makcik itu telah berniaga.

Kata beliau, peniaga yang sudah berusia itu dan seorang ibu tunggal itu menjelaskan, dia sudah lama berniaga dan terpaksa teruskan mencari rezeki walaupun suaminya sudah meninggal dunia.

“Kemudian saya tanya, ada lesen meniaga tak? Kak Nah jawab, tidak ada. Jadi, saya beri jaminan minta dia teruskan berniaga di situ kerana soal lesen meniaga boleh diurus nanti.

“Saya kemudian minta DBKL keluarkan lesen perniagaan untuk makcik ini dan lesennya telah pun siap.

“Esok pagi, sebelum saya menghadiri Mesyuarat Harian Menteri mengenai Covid-19, saya akan singgah dan serahkan lesen itu kepada Kak Nah supaya dia tidak lagi berstatus penjaja tanpa lesen,” katanya.

Annuar menasihatkan peniaga kecil di jalanan supaya memohon lesen perniagaan masing-masing di Bahagian Pelesenan DBKL.

Katanya, beliau tahu ramai peniaga kecil menjalankan perniagaan termasuk menjaja makanan tidak mempunyai atau belum ada lesen.

“Saya tekankan, falsafah yang hendak kita amalkan ini bukanlah soal menghukum atau denda dan kita kena faham sepanjang pandemic Covid-19 ramai yang terkesan, ada hilang pekerjaan, hilang pendapatan dan sebagainya.

“Malah, ekonomi kita secara keseluruhannya pun boleh dikatakan menguncup. Jadi, sekarang ini kita mahu ekonomi kita kembali aktif dan lebih cergas dan rakyat yang hilang pekerjaan dapat kembali berikhtiar menjalankan aktiviti masing-masing menambah pendapatan untuk menyara keluarga, lebih lagi yang tinggal di bandar Kuala Lumpur .

“Atas sebab itulah apa yang berlaku ke atas Che Nah Nasi Dagang di Jalan Setia Murni itu hanyalah satu manifestasi yang akan kita bantu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.