SHAH ALAM – Polis Kontinjen Selangor menerima 6,250 permohonan untuk rentas negeri merangkumi urusan kecemasan, pasangan jarak jauh dan lain-lain setakat semalam.
Jurucakapnya, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,993 permohonan diluluskan.
“Kebanyakan permohonan berkenaan urusan kecemasan, lain-lain adalah 3,677 permohonan dan kedua adalah pasangan jarak jauh 1,225 permohonan
“Urusan rawatan 854 permohonan, urusan kematian sebanyak 237 permohonan, 257 permohonan pula ditolak,” katanya pada sidang media mingguan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Katanya, jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif permohonan rentas negeri dari 22 Mei hingga 2 Jun sebanyak 66,939 permohonan di mana hanya 60,764 permohonan diluluskan.
Menurutnya, salah seorang pasangan suami isteri yang bekerja dan duduk berjauhan dibenarkan melakukan rentas negeri dengan kebenaran secara bertulis daripada pihak polis berhampiran.
“Bagi pasangan suami isteri bekerja dan tinggal berjauhan di kawasan tempat jangkitan berbeza, salah seorang daripadanya boleh bergerak dengan kebenaran bertulis daripada ketua pejabat daerah polis atau ketua polis balai berdekatan tempat tinggal,” katanya.
Selain itu, bagi permohonan rentas negeri kerana sebab khas dan tertentu, seseorang itu boleh bergerak dari satu kawasan tempat jangkitan ke satu kawasan tempat jangkitan yang lain dengan kebenaran polis.
“Orang itu hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis telebih dahulu daripada pegawai penjaga daerah polis iaitu ketua polis daerah atau ketua polis balai bagi tempat dia tinggal.
“Sebab khas seperti untuk tujuan perubatan, ziarah kematian dan kecemasan keluarga terdekat sahaja,” katanya.
Bagi pergerakan rentas negeri tanpa perlu kebenaran polis pula adalah seperti berulang alik pergi dan balik kerja berhampiran kawasan sempadan Negeri.
“Mereka memadai dengan menunjukkan dokumen pengesahan daripada jabatan ataupun majikan, ini kebanyakan yang tinggal di sempadan seperti di Nilai-Sepang.
“Kemudian surat panggilan kembali bertugas kepada penjawat awam ataupun swasta yang dikeluarkan oleh Jabatan ataupun majikan masing-masing,” katanya.
Selain bertugas kembali, ahli keluarga juga dibenarkan melakukan pergerakan rentas negeri khususnya bagi mereka yang terkandas di kampung sejak awal tempoh PKP lalu.
“Ini bagi mereka sebelum ini berada di kampung masa PKP lepas, bila banyak sektor ekonomi dibuka, diarahkan bertugas, tak perlu kebenaran, ahli keluarga pun boleh ikut sekali balik ke tempat asal,” jelasnya.
Turut dibenarkan melakukan pergerakan rentas negeri pasangan yang mahu berkahwin atau mendaftar perkahwinan melibatkan Negeri berlainan.
“Mulai 2 Jun 2020, pasangan yang ingin menguruskan akad nikah, urusan pendaftaran perkahwinan boleh memohon kebenaran polis untuk melakukan kebenaran rentas negeri.
“Majlis tersebut boleh dilakukan mengikut SOP yang membenaekan kehadiran tidak lebih 20 orang. Ini telah diumumkan oleh pihak Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette