Khairul Rizam Abu Samah
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Khairul Rizam Abu Samah

KUALA LUMPUR – Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) golongan belia serta pelajar universiti tidak terkecuali daripada menerima kesan ekonomi.

Lebih-lebih lagi yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kata Pengerusi GPMSWP, Khairul Rizam Abu Samah.

Walaupun Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ada menyantuni golongan anak muda ini khususnya yang terkandas di kampus, namun masih ramai mahasiswa di luar kampus terputus bekalan makanan.

Memandangkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan (GPMSWP) mempunyai pangkalan data sendiri mengenai belia dan mahasiswa terjejas di ibu negara, mereka menjejaki dan menyalurkan bantuan dengan kapasiti yang terhad, kata Khairul Rizam.

Menurut beliau, ia berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pihaknya di lapangan, tidak semua kumpulan sasar mahasiswa dapat digapai dan dikontak.

“GPMSWP percaya masih ada peratusan mahasiswa khusus yang berada di luar kampus tidak berjaya disalurkan bantuan.

“Oleh kerana itu, kami amat memerlukan sokongan dan dokongan KWP dan agensi-agensi kerajaan di bawahnya dalam memperjuangkan agenda belia dan mahasiswa bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu terputus bekalan makanan, GPMSWP mendapati masih ramai mahasiswa di luar kampus dibebani dengan kos sewaan rumah yang tertunggak sepanjang tempoh PKP dan PKPB akibat wabak Covid-19.

“Kami menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk mengambil perhatian serius kepada bantuan kos bebanan sewa rumah mahasiswa yang berada di luar kampus.

“Tempat berteduh kasih mahasiswa ini hanyalah berpolakan kepada keprihatinan Tan Sri sendiri di Wilayah Persekutuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, KWP perlu memandang serius terhadap masalah penggangguran dalam kalangan anak muda di Wilayah Persekutuan yang kian membimbangkan, lebih-lebih lagi kehilangan pekerjaan akibat wabak Covid-19.

“Kami mencadangkan Tan Sri Annuar mewujudkan bantuan potensi karier dalam sektor perkhidmatan penghantaran makanan, penyelenggaraan jalur lebar, dana sokongan peniaga dalam talian dan pemudah cara perlesenan penjaja kecil.

“Alternatif lain ialah menyalurkan penganggur berintegriti akademikal ini kepada sektor pendidikan tambahan dalam talian sebagai contoh Kelas Tuisyen KL Kasih di mana Tan Sri sendiri wujudkan platform berkenaan.

“Dengan cara itu ia dapat memberi gaji atau elaun penganggur untuk mengajar anak-anak pelajar belajar dari rumah dengan sistem atas talian. Pembahagian kawasan adalah berdasarkan zon,” katanya.

GPMSWP juga mengesyorkan agar golongan muda ini terlibat sebagai pekerja sosial untuk membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam proses penyaluran bantuan berbentuk barang keperluan asas dan kelompok asnaf.

“Ini kerana kita yakin keperluan tenaga sokongan kepada agensi kerajaan ini sedikit sebanyak akan meringankan bebanan sedia ada,” katanya.

Katanya lagi, KWP digesa mewujudkan Skim Latihan Pasca Siswazah untuk setiap lepasan graduan sebagai galakan khas untuk anak-anak belia Wilayah Persekutuan.

“Mereka ini boleh dilatih dengan kemahiran asas teknikal dalam semua bidang misalnya fotografi, kulinari, kimpalan, multimedia, perkhidmatan jalur lebar dan perkhidmatan penghantaran.

“Apabila terjadi sesuatu situasi kecemasan sebegini, mereka sudah ada pelan evakuasi sebagai perisai kepada kemelut ekonomi semasa dengan mengkomersialkan kebolehan tambahan sedia ada sekaligus menyumbang kepada kestabilan ekonomi yang berjalan dalam Wilayah Persekutuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Semua nak minta bantuan..Gunalah inisiatif sendiri bagaimana nak survive..ramai pg yg memerlukan..
    Bab minta bantuan semua nak jadi hero.. bab suh bayar balik pinjaman hilang..igt la masa depan anak2 lain jika korng ni hanya pandai meminjam tapi tak tahu memberi..
    Dr sklh rendah sampai universities mcm2 bantuan dah diberi tapi sampai masa bayar balik lari

Comments are closed.