Keluarga besasr Che Pah

Marhaba.. Sudah 11 hari kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Syukur Alhamdulillah. Walau dalam segala bentuk kelainan dan keterikatan diabawah PKPB, namun segalanya dapat kita lalui dengan tabah.

Ada yang meraung di pagi raya. Tak kurang yang jadi Neng Yatimah dengan juraian air mata membasahi pipi di pagi raya kerana tidak dapat berjumpa ayah bbonda.

Ada pula yang ambil tindakan ala Robin Hood berusaha redah lebuh raya yang penuh sekarang polis semata mata ingin pulang beraya di kampung halaman. Nekad sungguh mereka.

Masing masing menggila mahu pulang. Walau apa jua berlaku, pulang tetap pulang. Kompaun RM1000 bagi yang engkar bukan halangan.

Dalam hati berkata, tangan ayah bonda harus dicium dipagi raya. Jika tidak, tidak sah hukum beraya.

Suka juga Che Pah ingatkan semua, balik ke kampung, bertemu ayah dan bonda tercinta serta mencium tangan mereka bukan sekadar pada Hari Raya.

Bukankah elok jika kita jadikan amalan sepanjang masa. Mungkin yang berkeras mahu pulang ke kampung itu berakibat dari tindakan sendiri yang hanya pulang ke kampung hanya kala Hari Raya.

Setahun sekali baru menjenguk muka. Itu yang rasa tidak tentu arah jika tidak balik.

Namun jika telah diamalkan sebulan dua sekali balik ke kampung serta menatap wajah ayah bonda pasti hal sebegini tidak berlaku.

Che Pah teringat kisah pengarah filem terkenal Allayarhamah Yasmin Ahmad. Semasa hayatnya beliau berusaha menjadi anak yang diredhai ayah bonda.

Kala wartawan menemuramah ibu beliau iaitu Mak Inom, ibu beliau bercerita perihal akhlak anaknya. Kata Mak Inom, Yasmin akan memastikan dia menghubungi ibunya pada setiap hari.

Setiap hari juga beliau akan meminta maaf dari ibunya. Jika beliau sedang merangka untuk mem bikin sebuah projek filem terbaru, pasti sang ibu dihubungi terlebih dahulu untuk mendapatkan restu.

Masih terpandang pandang di mata Che Pah bagaimana Nak Inom membelai serta memeluk pusara anak tercinta sesuai jasad dikebumikan dan talkin dibaca.

Kata Mak Inom, beliau takkan mungkin mendapat seorang anak seperti Yasmin Ahmad. Che Pah yakin inilah resipi kejayaan Yasmin Ahmad dalam semua tugasannya.

Boleh dikatakan semua iklan dan cetusan idea Yasmin diterima baik peminat dalam negara serta mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Tidakkah ingin kita mencontohi akhlak yang baik sebegini? Allah datangkan peristiwa di depan kita bukan sekadar seronok untuk ditonton serta diperkata sebaliknya Allah mahu kita memperhalusinya serta mengambil iktibar.

Itu tujuannya. Allah mahu kita terapkan kata kata menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Maka raya PKPB tahun ini pasti banyak memberi pengajaran kepada kita bukan? Berapa berharga masa yang ada dan nenjadi lebih mulia apabila ia diperuntukkan untuk menjenguk ibu dan bapa di kampung.

Apa nikmatnya raya kala kita tak mampu mengelus tangan ibu bapa tercinta. Kita tidak dapat bermesra dengan mereka serta mencium dahi orang yang telah membesarkan kita.

Pasti terseksa jiwa bukan?

Maka Che Pah harap kita semua dapat mengubahkan diri. Kita sama sama jadi anak yang diredhai. Kita jaga Kunci Syurga kita yang ada di telapak tangan ayah dan bonda.
.
Apabila keadaan semasa kembali seperti sedia kala nanti dan kala merentas negeri sudah dihalalkan oleh penguasa negeri, Che Pah harap perkara pertama yang kita buat ialah pulang menjenguk ibu dan bapa.

Luangkan sebanyak masa yang mungkin buat mereka. Sesali kesalahan lama kita yang memberi lebih banyak masa kepada orang dan acara yang tidak pasti pahalanya.

Kita jaga ibu dan bapa kita. Bagi yang berkeluarga, buat rotation. Bulan ini pulang ke rumah orang tua suami dan bulan hadapannya ke kampung isteri. Adil dan saksama.

Tataplah wajah ibu dan bapa. Kala wajah tua itu kita tatap, lerailah segala dosa kita. Bagi ibu atau bapa yang sudah terlantar sakit, ambil peluang untuk memandikan mereka serta mencuci najis mereka.

Rasailah nikmat kala menjirus air serta menyabun tubuh renta tua ibu atau bapa kita. Belailah tubuh dan kepala mereka dengan penuh kasih dan sayang.

Ingatlah, tangan berkedut mereka itu yang dulunya mengusap kepala kita serta menyuapkan nasi ke mulut kita.

Che Pah pandai berkata seperti ini awak semua rasa kerana apa?

Kerana Che Pah telah diizin serta diberi peluang oleh Allah untuk merasa semuanya. Che Pah menulis bukan mengikut rasa sebaliknya bersandar pengalaman jua. Itu sebuah pengalaman paling indah buat Che Pah.

Pengalaman yang tiada tolok bandingannya. Jika diberi peluang kedua, Che Pah pilih untuk terus berkhidmat untuk Umi dan Walid Che Pah.

Namun peluang itu tidak akan mungkin tercipta semula di dunia. Che Pah redha. Tangisan dan rintihan di malam hari menjadi bukti kasih dan cinta Che Pah kepada orang tua Che Pah.

Maka bagi awak semua yang masih punya ibu dan bapa, hargailah. Kecapilah saat saat manis bersama mereka. Ciumlah mereka sepuas hati. Mohon ampun sepanjang masa. Kejar redha mereka.

Kerana, mereka milik Allah. Allah sayangkan hamba-Nya lebih dari kita sayangkan mereka. Satu hari mereka pasti kembali kepada Yang Maha Mencipta.

Apabila waktu itu tiba, kita puas. Puas kerana dapat berkhidmat buat mereka. Puas kerana sudah terpacul dari mulut tua mereka yang mereka telah meredhai kita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast