Peniaga, Adam Corrie Lee Abdullah bercakap kepada media berkenaan harapan bagi pelan pemulihan ekonomi yang akan diumumkan oleh kerajaan di Mara Digital Mall, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Sejak Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu banyak pihak terkesan daripada segi ekonomi dan sumber pencarian.

Golongan peniaga antara yang paling banyak terjejas selepas aktiviti ekonomi tidak dapat dijalankan sejak awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lebih tepat kira-kira dua bulan lalu.

Bagaimanapun beberapa pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sedikit banyak dapat melegakan komuniti peniaga dengan pelbagai insentif.

Antara insentif yang dilihat membantu para peniaga ialah Geran Khas Prihatin sebanyak RM3,000 dan moratorium sehingga enam bulan bagi sewaan premis perniagaan.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati walaupun pelbagai bantuan sudah diumumkan namun masih ada beberapa aspek pemulihan ekonomi perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Antara galakan para peniaga kepada perniagaan dalam talian (online) masih belum meluas susulan beberapa kekangan termasuk kapasiti perkhidmatan penghantaran terhad khususnya pada awal musim PKP.

Menurut seorang peniaga baju batik, Nizarudin Nordin, 50, masalah pembelian dalam talian terjejas apabila tempoh penghantaran terlalu lambat hingga menyebabkan pelanggan hilang kepercayaan.

Peniaga Baju Batik, Nizaruddin Nordin bercakap kepada media berkenaan harapan bagi pelan pemulihan ekonomi yang akan diumumkan oleh kerajaan di Mara Digital Mall, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2020.

“Kerajaan dan pihak syarikat penghantaran kena ambil tindakan dan pelan sewajarnya untuk para peniaga dan para pembeli yang akan menerima barang itu.

“Contohnya di Kuala Lumpur, boleh sampai dalam masa tiga hari tapi kenapa kena sampai 10 hari, kena ambil tindakan itu,” katanya.

Katanya, walaupun pada awal tempoh PKP perniagaannya agak terjejas namun selepas menggunakan kaedah dalam talian, jumlah pesanan kembali meningkat.

“Walaupun kita buka kedai bulan lepas, awal bulan puasa kita boleh nampak ketara peratusan pelanggan yang singgah di kedai memang berkurangan.

“Hanya 80 peratus kita buat jualan dalam talian, 20 peratus sahaja yang singgah ke kedai,” katanya.

Sementara itu, seorang usahawan makanan, Suhaily Hamzah yang juga Pengarah Urusan My Delicacies terpaksa mewujudkan khidmat penghantaran sendiri bagi mengelakkan produk rosak dalam perjalanan.

Pengarah Urusan My Delicacies, Suhaily Hamzah bercakap kepada media berkenaan harapan bagi pelan pemulihan ekonomi yang akan diumumkan oleh kerajaan di Mara Digital Mall, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2020.

“Sebelum ini kita guna perkhidmatan kourier seperti pos laju, Lala Move dan sebagainya.

“Kita memang hadapi masalah penghantaran, terutamanya barang-barang pecah, lepas itu kita tambah baik kita bungkus dengan lebih baik.

“Bila kita fikir risiko tinggi, kita hadkan penghantaran ke luar negeri lain, kita fokus dalam KL saja melalui runner kita sendiri. Jualan kita dalam KL sahaja kini mencecah 30 peratus,” katanya.

Bagi seorang peniaga baju Melayu, Adam Corrie Lee Abdullah berharap pakej rangsangan tambahan kerajaan dapat terus membantu peniaga yang masih terjejas sehingga kini.

“Peniaga kecil seperti saya ini antara yang teruk terjejas, pelanggan tidak lagi datang ke kedai, saya mengharapkan jualan dalam talian sahaja.

Peniaga, Adam Corrie Lee Abdullah bercakap kepada media berkenaan harapan bagi pelan pemulihan ekonomi yang akan diumumkan oleh kerajaan di Mara Digital Mall, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2020.

“Kurier pula sangkut, pelanggan tak berani nak beli dalam talian kerana banyak kes barang tak sampai.

“Jualan pula tiada tapi kami tetap kena bayar sewa kedai untuk April dan Mei lepas. Saya pun sudah buntu tak tahu nak buat apa lagi.

“Harap kerajaan dapat bantu sikit, nak pinjam lagi tak mampu nak bayar, hutang Tekun banyak lagi,” katanya yang juga seorang pelakon. – MalaysiaGazette