Abdullah Husin

KUALA LUMPUR – Pas Johor bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya DUN negeri itu dibubarkan.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Johor, Abdullah Husin berkata, Badan Perhubungan Pas negeri memandang serius terhadap titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi amaran akan membubarkan DUN jika perebutan kuasa masih berlaku di negerinya.

“Pas Johor yakin bahawa titah Sultan Ibrahim itu telah mengambil kira kepentingan rakyat yang perlu diberikan keutamaan berbanding kepentingan politik yang diperjuangkan oleh sesetengah daripada pihak di Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdullah Husin menegaskan, pihaknya menyelar kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Pakatan Harapan Johor semalam yang cuba mencabar titah Sultan Johor apabila masih lagi tidak akur dengan amaran tersebut.

Katanya, Pas di Johor tetap menzahirkan sokongan agar pentadbiran kerajaan negeri yang sedia ada berjalan dengan baik dan lancar demi kemajuan serta kesejahteraan semua rakyat.

Semalam, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negerinya dan mengingatkan Dewan Negeri akan dibubarkan “serta-merta” jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.

Titah Sultan Ibrahim, baginda akan memberikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu dan berharap mereka memilih pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri bukan untuk parti atau diri sendiri. – MalaysiaGazette