KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik pemberian geran padanan oleh kerajaan kepada pekerja dalam sektor ekonomi gig untuk membuat simpanan melalui i-Saraan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata, ia dilakukan menerusi peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi untuk menyokong rangka perlindungan sosial untuk sektor ekonomi gig.
“Usaha kerajaan ini tepat pada masanya bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa dalam sektor pekerjaan. Tahun ini sangat tidak menentu dan mencabar buat semua, lagi dengan pandemik yang telah mengubah lanskap pekerjaan di negara ini.
“Namun sesuatu yang memberangsangkan apabila kita lihat ramai individu dapat memanfatkan peluang yang muncul sepanjang krisis ini.
“Kami maklum ramai memilih untuk bekerja dengan platform penghantaran makanan dan bungkusan pada masa ini. Pekerja platform gig di Malaysia terutamanya pemandu dan pengendali makanan telah menjadi nadi ekonomi negara pada bulan-bulan mencabar ini.
“Secara teknikalnya mereka bekerja sendiri, tiada mekanisma formal untuk mereka buat simpanan bagi masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Alizakri, pihaknya berharap insiatif kerajaan itu akan mendorong golongan ini untuk terus menabung.
“i-Saraan adalah caruman secara sukarela tetapi ahli KWSP di bawah program ini akan mendapat manfaat yang sama dengan ahli KWSP yang bekerja sepenuh masa, ditambah dengan sumbangan tambahan daripada kerajaan untuk memberi insentif kepada mereka,” ujarnya.
Di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) jangka pendek, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan 40 inisiatif bernilai RM35 bilion yang mana sebahagian besarnya disasarkan bagi jaminan pekerjaan termasuk yang berada dalam ekonomi gig, kemahiran semula dan membantu aliran tunai bagi perniagaan.
Antara lainnya, kerajaan akan memudahkan dasar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja dalam sektor ini.
Ini akan dilakukan menerusi padanan geran bernilai sehingga RM50 juta bagi platform ekonomi gig yang menyumbang bagi pekerja yang mencarum di bawah Skim Bencana Pekerjaan Perkeso sehingga RM162 dan Skim i-Saraan KWSP sehingga RM250 setahun. – MalaysiaGazette