Foto hiasan

PUTRAJAYA – Tindakan kerajaan menekankan pelbagai langkah pencegahan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 jelas telah menyumbang kepada penurunan penyebaran penyakit berjangkit lain yang disebar melalui sentuhan.

Perbandingan analisis wabak dari minggu epid (minggu jangkitan) pertama sehingga minggu epid ke-22 tahun lepas dan tahun ini menunjukkan penurunan kes yang ketara bagi beberapa penyakit berjangkit.

“Misalnya penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) terdapat penurunan kes sebanyak 44.6 peratus. Sama seperti demam campak (measles) yang turut turun sebanyak 58.3 peratus.

“Cacar air (chickenpox) juga terdapat penurunan kes sebanyak 44.4 peratus,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di kementerainnya di sini hari ini.

Dr Noor Hisham memberitahu penurunan kes-kes itu adalah merupakan satu implikasi positif hasil pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang turut dibantu oleh amalan kebersihan
kendiri yang tinggi.

Bagaimanapun, katanya, dalam situasi wabak Covid-19 ini, dikhuatiri terdapat juga penurunan dalam kadar imunisasi bayi dan kanak-kanak.

Perkara itu boleh berlaku bagi ibu bapa yang terkesan dan risau untuk membawa anak kecil mereka ke klinik, ujarnya.

“KKM ingin mengingatkan tentang kepentingan imunisasi kanak-kanak bagi mencegah terjadinya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin (vaccine preventable diseases).

“Perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak adalah masih diteruskan seperti biasa di Klinik Kesihatan,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan ibu bapa untuk mematuhi jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette