KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) dijangka menamatkan penggulungan akhir kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Prosiding hujah penggulungan akhir kes pembelaan SRC International sudah masuk hari ke-5 dengan peguam bela Najib, Harvinderjit Singh dijangka menyambung hujahnya.
Sepatutnya semalam pasukan pembelaan sudah menghabiskan hujah mereka namun ketua pasukan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta lebih masa memandangkan Harvinderjit tidak dapat hadir sesi sebelah petang.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permintaan tersebut dan menetapkan hujah akhir dilakukan pada sebelah pagi. Ia akan dikendalikan oleh Harvinderjit bagi menjawab hujah balas pendakwaan.
Bagaimanapun, Mohd Nazlan mengingatkan seandainya Harvinderjit tidak hadir maka Shafee perlu menghabiskan hujah balas itu serta tidak ada penangguhan akan diberikan lagi.
Semalam, Shafee mendakwa anak guamnya, Najib tidak lebih daripada mangsa konspirasi seorang individu yang beliau percayai.
Antara yang disebut oleh Shafee ialah ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang sepatutnya sudah ditangkap sejak tahun lalu oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Selain Jho Low, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan juga didakwa telah dikhianati oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil serta beberapa pegawai bank yang mengendalikan akaun peribadinya.
“Anak guam saya adalah mangsa ‘scam’ (penipuan) oleh beberapa individu termasuk Jho Low, Nik Faisal, pegawai-pegawai bank yang bersekongkol dengan pengurusan SRC International.
“Itulah kebenarannya. Kedudukan Najib yang memegang jawatan nombor satu negara juga membuatkan amat sukar bagi pihak peguam bela menyediakan pembelaan dalam kes terbabit.
“Pihak pendakwaan mengemuka kesnya dalam konteks bahawa individu yang memegang kuasa tidak boleh tidak menyedari apa yang berlaku terhadap akaun peribadinya.
“Kami juga berdepan tugas sukar dalam mengemukakan pembelaan lebih-lebih lagi dalam keadaan persekitaran Najib yang dipenuhi dengan prejudis awam,” katanya semalam.
Selain itu, pihak pembelaan bertegas yang Najib mempunyai tanggapan yang dana yang beliau belanjakan untuk aktiviti politik, program tanggungjawab sosial korporat dan perbelanjaan peribadinya berasal dari Arab Saudi.
Beliau berkata, kedudukan Najib yang memegang jawatan utama juga membuatkan amat sukar bagi pihak peguam bela menyediakan pembelaan dalam kes terbabit.
Bicara kes SRC International bermula 3 April 2019, iaitu 14 bulan lalu.
Najib berdepan tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International yang masuk ke dalam akaun banknya antara Disember 2014 dan Februari 2015.
Beliau didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Ahli Parlimen Pekan yang akan berusia 67 tahun bulan depan itu juga mempunyai dua lagi perbicaraan kes yang sedang berjalan.
Sebanyak 807 eksibit atau barang kes dikemukakan ke mahkamah dalam perbicaraan selama 91 hari bermula 3 April 2019 yang turut membabitkan nota prosiding kira-kira 6,000 muka surat. Sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan 57 orang saksi. – MalaysiaGazette
Berkat hari Jumaat tang mulia ini kita doakan kebaikan dan kebenaran berpihak kepada DSNAJIB. Allah menjaga kebajikan hambanya tang berhati bersih san mulia. Semoga dia dapat terus menjaga agam dan bangsanya.