Tin susu terpakai yang digunakan untuk menyimpan biskut raya.

Marhaba.. Semalam Che Pah menyibukkan diri dengan mengemas rumah. Ini perkara yang paling Che Pah minat buat.

Kala leka mengelap semua perhiasan yang ada, Che Pah terpanggil untuk berkongsi satu cerita tentang botol minuman ringan kaca yang sudah lama berada dalam simpanan Che Pah.

Dua biji botol Coca Cola kaca ini menggamit memori Che Pah. Memori sewaktu kecil bersama Emak. Botol ini banyak berjasa buat Che Pah dan famili.

Dulu dulu minuman ringan hadir dalam botol kaca. Waktu itu minuman berkarbonat seperti Coca Cola, Pepsi, 7 Up dan Mirinda semuanya dipek dalam botol kaca samada botol kecil atau pun besar 1 liter.

Tiada yang dipek dalam botol plastik seperti sekarang.Dek kerana perubahan zaman dan pengguna mahukan sesuatu yang ringan dan mudah dibawa, maka kini semua air karbonat atau saya masa kecil panggil air gas datang dalam botol plastik.

Memang mudah tapi malangnya banyak masalah telah timbul akibat desakan komersial ini.Namun kini ramai yang sudah sedar akan bahaya barangan plastik. Alhamdulillah.

Emak rajin kumpul botol kaca air gas ini. Lepas habis airnya diminum, Emak akan basuh bersih dan simpan di bawah ambin di dalam rumah Che Pah.

Berderet botol kaca Emak simpan. Botol kaca ini Emak kitar semula penggunaannya untuk menyimpan kordial sirap untuk Hari Raya yang Emak masak sendiri.

Emak punya sifat berjimat yang amat kuat. Emak didik Che Pah agar pandai berjimat juga. Biasanya pada setiap bulan kami akan membeli lebih kurang 10 kilo gula di kedai runcit Wu Tak berdekatan rumah kami.

Gula pasir dulu tak dijual dalam pek plastik 1 kg seperti sekarang. Ia ditimbang dan dimasukkan ke dalam kampit yang diperbuat dari kertas. Sangat alami.

Timbangnya pula ialah timbang dacing yang menggunakan pemberat. Dulu masih guna sistem kati dan tahlil sebelum ditukar kepada kilogram dan gram seperti sekarang.

Apabila stok gula pasir dah sampai, Emak bertanggunng jawab untuk menyimpan. Emak akan masukkan gula tersebut dalam tin susu tepung yang sudah habis. Tin susu tepung Klim, Nespray atau Every Day banyak Emak simpan.

Orang dulu semuanya disimpan. Tin susu tepung dibasuh dan disimpan. Bila tiba Hari Raya tin susu ini jadi tempat simpan biskut raya yang dibuat.

Maka sudah tidak perlu membeli bekas plastik seperti sekarang. Dulu pun tak banyak bekas plastik yang dijual di pasaran. Orang sekarang semuanya kena beli. Tin atau botol yang boleh di kitar guna, dibuang begitu saja.

Makanya kita terpaksa keluar belanja lagi untuk membeli bekas untuk menyimpan makanan atau minuman. Kita dah tak punya amalan jimat cermat seperti Emak atau nenek kita dulu.

Biasanya pada setiap bulan bila stok gula pasir sampai, Emak akan menarik satu tin. Emak simpan di tempat lain.

Che Pah harian kenapa Emak buat begitu. Lantas Che Pah tanya. Emak senyum sambil menjawap.

Kata Emak satu tin gula pasir yang diasingkan itu tujuan untuk digunakan jika terputus bekalan gula pasir harian di rumah. Jadi tak payah nak membeli lagi.

Keduanya tambah Emak, gula pasir yang diasingkan setiap bulan ini akan dikumpul dan digunakan untuk membuat kordial sirap untuk hari raya nanti.

Mendengar penjelasan Emak buat Che Pah termenung seketika. Dalam hati berbisik bukankah mudah beli saja kala nak buat sirap nanti. Tak payah simpan simpan.

Akan tetapi bila sudah dewasa, kini baru Che Pah faham. Baru Che Pah sedar yang Emak mendidik Che Pah sifat berjimat cermat.

Botol air kaca dan tin susu diguna semula untuk menyimpan air sirap dan biskut raya. Maka jimat duit dari membeli bekas lain.

Gula pasir ditarik setin setiap bulan dan diguna untuk buat kordial sirap. Maka jimat duit dari membeli yang sudah siap di pasaran dan kala nak dimasak kordial tak perlu lagi membeli gula pasir.

Emak ajar Che Pah mencari keberkatan dalam hidup. Emak kata dalam hidup kejar yang berkat dulu sebelum kaya.

Kata Emak jika hidup berkat duit 10 sen boleh jadi RM1. Che Pah ingat pesan Emak sampai sekarang. Jika tak berkat, rezeki keluar seperti air berarus tambah Emak. Tak lekat dalam tangan.

Itulah sebabnya maaf Che Pah cakap hidup kebanyakan kita sekarang terolang aling bak perahu nak karam di lautan.

Kebanyakan kita gila nak kaya. Nak kaya cepat pulak tu.Apa cara pun mesti kaya. Tak kira samada cara pencarian rezeki itu berkat atau tidak.

Kita banyak membazir kepada perkara yang tak perlu. Makanan dibuang tanpa rasa belas. Lihat saja kalau kita pergi kenduri kahwin. Tetamu ambil makanan seperti esok dah tak ada. Kalau habis dimakan tak mengapa. Tapi lazimnya ia ditinggal jadi penghias meja.

Kalau kita balik kampung, stesen petrol jadi tumpuan. Beli segala jenis air dan makanan ringan. Mahal pulak harganya jika di stesen petrol.

Bukankah lebih baik jika para ibu membawa bekal dari rumah. Bawa air mineral dua atau tiga botol. Bukan susah pun. Tekan saja mesin air Coway tu.

Kemudian masak sejenis dua lauk seperti sambal ikan bilis serta telur dadar, ulam mentimun dan tanak nasi.

Maka kita dapat banyak berjimat daripada makan anak beranak di R & R. Bukan tidak boleh, tetapi makanan yang dijual di R, & R biasanya kurang berasa dan mahal pula.

Mungkin kita boleh selak balik didikan jimat cermat nenek dan Emak kita dulu. Kita aplikasikan dalam kehidupan yang serba mencabar kini. Che Pah rasa ia sangat membantu dan relevan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast