KUALA LUMPUR – Keputusan pelakon, Kilafairy yang mula berhijab sejak Syawal ini merupakan perkhabaran gembira buat ibu bapanya.
Menerusi satu perkongsian di YouTube, Kilafairy berkongsikan reaksi bapanya apabila mendapat tahu dirinya sudah bertudung sekaligus meninggalkan imej seksi yang sinonim dengan dirinya selama ini.
Jelas Kilafairy, bapanya pada awal hanya mengusik apabila melihat dirinya bertudung, tetapi kemudian tersenyum lebar serta meluahkan rasa syukur apabila dia memberitahu sudah berhijab sepenuhnya.
Wanita berusia 28 tahun itu berkata dia melihat bapanya kelihatan sebak ketika mereka berpelukan sebaik sahaja memaklumkan mengenai penghijrahannya itu.
Menerusi video itu, pelakon filem Karak itu meluahkan rasa syukur kerana sempat menggembirakan ahli keluarganya dengan imej terbaharu itu.
Menerusi akaun Instagram miliknya, Kilafairy yang juga anak kepada penyanyi popular 80an, Rohan Jalil juga dilihat sudah pun memadam semua gambar yang memperlihatkan rambutnya.
Sebelum ini, Kilafairy berkata, keputusannya itu adalah kerana Allah dan bukan paksaan oleh sesiapa. Ujarnya, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk berhijab tetapi mahu perlahan-lahan membuang imej seksi terlebih dahulu. – MalaysiaGazette