Ole Gunnar Solskjaer.

LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer merancang untuk memaksimumkan peraturan baharu Liga Perdana Inggeris apabila setiap pasukan boleh menggunakan lima penggantian pemain dalam satu perlawanan ditengah-tengah wabak Covid-19.

Peraturan penggantian lima pemain akan digunakan dalam fasa pandemik ini berdasarkan polisi untuk menjaga kecergasan pemain setelah sekian lama tidak bermain.

Musim Liga Perdana 2019-2020 ditangguhkan sejak pertengahan Mac dan pertandingan secara rasmi akan disambang pada 17 Jun ini.

“Kami berharap semua orang akan bersiap sedia untuk perlawanan pertama,” kata Solskjaer, seperti yang dilaporkan oleh Mirror.

Minggu lalu, Liga Perdana Inggeris memberi izin untuk semua pasukan dapat membawa sembilan pemain simpanan di bawah peraturan baharu yang berlaku sehingga akhir musim setelah pertandingan ditangguhkan kerana wabak virus Corona.

Dengan kemudahan yang telah dibenarkan penganjur, Solskjaer mahu memanfaatkan sepenuhnya perubahan pada peraturan penggantian dan merancang untuk menggunakan keseluruhan skuadnya untuk menyelesaikan musim ini.

“Kami mempunyai masa untuk berehat, jadi saya rasa kami tidak boleh mengharapkan pemain yang sudah lama tidak bermain dapat meneruskan satu perlawanan penuh.

“Namun, sekarang peraturan telah berubah dan kami dapat melakukan lima penggantian serta memiliki sembilan pemain di bangku simpanan.

United masih berusaha untuk menduduki tangga empat teratas Liga perdana Inggeris dan berhasrat untuk menjulang Piala FA dan Liga Europa.

Namun Solskjaer tidak mahu memaksa satu pemain untuk bermain dalam setiap perlawanan sepanjang musim ini. – MalaysiaGazette