Tertuduh, Omar Abdul Latif diiring anggota polis dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan peras ugut dan ugutan bunuh ke atas seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Selangor. foto AFFAN FAUZI, 09 JUN 2020

KUALA KUBU BHARU – Seorang penarik kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengugut bunuh seorang anggota polis pada 21 Julai tahun lalu.

Tertuduh, Omar Abdul Latif, 41, yang dibawa oleh polis dengan tangan bergari dan berpakaian baju berkolar T, berseluar pendek dan berselipar didakwa melakukan kesalahan itu menerusi panggilan telefon yang dilakukannya terhadap anggota pihak keselamatan itu.

Bagaimanapun Omar mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap dakwaan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sesyen, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Mengikut kertas pertuduhan, Omar yang beralamat di Taman Indah, Jalan Changkat Asa, Ulu Bernam didakwa melakukan kesalahan jenayah untuk tujuan menakutkan dengan menyembunyikan nama menerusi panggilan telefon yang dilakukan kepada Lans Koperal Govindan Chelvakumar.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 10.46 malam 21 Julai 2019 di pekarangan Balai Polis Hulu Bernam di dalam daerah Hulu Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh  dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mohamad Amin mencadangkan hakim mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Omar berkata: “Yang Arif saya mahu rayu kurangkan wang jaminan sebab saya ada tanggungan orang tua dan enam orang anak, dan mahu ambil peguam dalam kes ini.

Selepas mendengar rayuan Omar, Nurul Mardhiah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Julai sebagai tarikh melantik peguam dan serahan dokumen kes. – MalaysiaGazette