Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat yang mewakili kerajaan Malaysia bagi kes lucut hak wang berjumlah RM 628,314 yang disita daripada Jakel Trading di Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 09 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Jenayah menolak permohonan pendakwaan melucut hak wang berjumlah RM628,314, yang didakwa berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Jakel Trading hari ini.

Skandal dan penyewelangan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion yang ketika ini sedang dibicarakan di mahkamah juga dikaitkan dengan penglibatan  Datuk Seri Najib Tun Razak ketika masih lagi memegang kuasa sebagai Perdana Menteri ke-6 antara 2008 hingga 2018.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan, pendakwaan sebenarnya gagal membuktikan syarat yang diperuntukan di bawah Seksyen 56 Akta 613.

Seksyen 56 Akta 613 adalah satu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Kata Ahmad Shahrir, pendakwaan sendiri telah memberi gambaran Jakel Trading sebagai satu entiti perniagaan yang sah dengan menjalankan urusniaga peniaga dan pembekal.

Jelas beliau, jenis barang-barang yang dijual kepada Najib adalah konsisten dengan bentuk perniagaan dijalankan oleh Jakel Trading.

“Kita tidak boleh alpa dengan setiap garis masa yang relevan. Bayaran-bayaran yang telah diberikan oleh Najib kepada Jakel Trading antaranya 5 Julai 2011, 19 Jun 2013 dan 19 Julai 2013.

“Sedangkan tuduhan yang dilempar kepada Najib sebenarnya sekitar 2015. Jakel Trading menerima bayaran sebelum tuduhan tersebut, jadi bagaimanakah wujudnya sebarang tuduhan salah laku rasuah?

“Pegawai penyiasat sendiri hanya dapat menghidu tuduhan yang dilempar itu pada 17 Mei 2018 apabila laporan SPRM dibuat.

“Tanpa wujudnya kesangsian ketara dalam urusniaga, Jakel tidak boleh dikatakan sebagai pihak yang mempunyai maklumat lebih baik mengenai sumber bayaran tersebut berbanding pengawai menyiasat itu sendiri.

“Berdasarkan alasan seperti ini, saya dapati Jakel Trading sebenarnya telah menjual dan menghantar barangan urusniaga mereka dan menerima bayaran sebanyak RM628,314.00. Ini tergolong dalam kategori pembelian suci hati dengan balasan.

“Dalam konteks ini, saya dapati pemohon (pendakwaan) telah gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 56(2)(b) Akta 613.

“Oleh yang demikian, saya menolak permohonan lucut hak wang dengan nilai itu,” katanya.

Pada Jun tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan saman pelucutan hak terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan ketika ini.

Jakel Trading menjalankan perniagaan seperti pakaian, langsir, tekstil dan pengilang kain.

Pendakwaan SPRM yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat kemudian memohon untuk penangguhan pelaksanaan keputusan itu melalui permohonan rasmi sementara menunggu rayuan dalam tempoh 14 hari berkuatkuasa hari ini.

Pasukan pembelaan mewakili Jakel Trading, Habizan Rahman Habeeb Rahman dan Thevini Nayagam dari Tetuan Rahman Rohaida. –MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Bukti menda datuk Que?..timeline lgsg xkena..nk sabitkan mcm mana?..kes 1mdb pn blom setel..cmna bleh dpt conclusion tu duit 1mdb?

Comments are closed.