Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew menunjukkan antara 18 suspek yang ditahan dalam Op Baucer di seluruh Selangor, semalam

SHAH ALAM – Seramai 17 lelaki Cina dan seorang lelaki India dipercayai terlibat dalam sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau lebih dikenali sebagai Ah Long ditahan dalam lima operasi berasingan dalam Op Baucer, semalam.

Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, kesemua yang ditahan itu berumur di antara 20 hingga 55 tahun.

“Kesemua mereka disiasat di bawah Sekysen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM250,000 atau tidak lebih RM1juta atau boleh dipenjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Untuk kesalahan kedua, mereka boleh dikenakan sebatan. Ia hasil daripada Op Baucer yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Kontinjen Selangor itu bermula 1 hingga 30 Jun ini.

“Operasi ini untuk mengekang dan mengambil tindakan ke atas pemberi pinjaman-pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew menunjukkan antara barang rampasan Op Baucer di seluruh Selangor, semalam

Dalam operasi sama, JSJK IPK Selangor turut merampas 38 telefon bimbit, 2 unit komputer riba, 42 kad ATM pelbagai bank, dan pelbagai dokumen dipercayai butiran milik peminjam, 3 buah kenderaan dan wang tunai sebanyak RM5,736.

“Operasi semalam melibatkan 5 daerah iaitu IPD Klang Utara, di mana kita menangkap 1 lelaki Cina yang mempunyai rekod lampau iaitu di bawah Seksyen 3263.

“Untuk tangkapan kedua di IPD Klang Selatan, melibatkan 12 lelaki Cina berumur di antara 20 hingga 28 tahun, daripada tangkapan ini ada 4 orang mempunyai rekod lampau.

“Tangkapan ketiga pula di IPD Petaling Jaya, melibatkan 3 lelaki Cina yang berumur 22 hingga 28 tahun, tangkapan ini tiada rekod lampau. Tangkapan keempat di IPD Kajang, iaitu 1 lelaki India mempunyai 8 rekod lampau.

“Tangkapan terakhir di IPD Serdang melibatkan 1 lelaki Cina berumur 32 tahun dan tiada rekod lampau,” katanya.

Selain tangkapan, pihak JSJK Kontinjen Selangor juga mengambil satu tindakan proaktif dalam usaha membanteras sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan cara menurunkan poster-poster atau iklan pemberi pinjaman wang.

“Mengikut statistik, dari 1 Januari hingga 31 Mei 2020, sebanyak 783 poster gegantung pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen diturunkan.

“Justeru kita menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau strategi pemasaran pinjaman wang segera daripada sindiket Ah Long,” katanya.

Selain guna banner, sindiket ini juga aktif menggunakan aplikasi WhatsApp dan iklan di dalam media sosial seperti Facebook untuk menawarkan pinjaman kepada orang ramai. – MalaysiaGazette