Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Pengusaha bas ekspres belum merancang untuk memulakan semula operasi pada masa ini walaupun kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia, Datuk Mohd. Ashfar Ali berkata, walaupun ahli persatuan ingin mengaktifkan semula perkhidmatan, tetapi prosedur operasi standard (SOP) hanya membenarkan satu bas diisi separuh daripada kapasiti penuh.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pendapatan tidak dapat menampung kos operasi, sekali gus menyebabkan pengusaha masih tunggu dan lihat.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac, ramai pengusaha telah berdepan masalah aliran tunai.

“Dengan SOP yang mengehadkan jumlah penumpang, pendapatan juga tidak dapat menampung kos yang ada,” katanya kepada China Press.

Katanya, harga tiket bas tidak diselaraskan sejak 2009 dan SOP untuk mengisi separuh tempat duduk dalam bas akan mengeruhkan keadaan kewangan pengusaha.

Tambahnya, selain perlu mematuhi SOP jumlah penumpang, pengusaha juga perlu melakukan kerja-kerja nyah kuman yang turut menambah kos.

“Kerajaan perlu berhenti mengawal harga tiket dan membenarkan kenaikan harga secara berpatutan bagi melegakan kemelut kewangan pengusaha,” katanya. – MalaysiaGazette