KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Jenayah KL hari ini menetapkan 10 Julai hadapan bagi membuat keputusan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang mana mayatnya ditemui dalam dram berisi konkrit, lima tahun lalu.
Perbicaraan yang bermula pada 2015 diakhiri penghujahan pembelaan akhir pendakwaan dan pembelaan bagi enam tertuduh yang dikaitkan dengan pembunuhan berprofil tinggi itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah hari ini memutuskan demikian selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak selama hampir lima jam.
“Saya membuat ketetapan keputusan untuk kes ini akan saya putuskan pada 10 Julai hadapan, sebulan dari sekarang.
“Mahkamah akan putuskan sama ada enam tertuduh ini bersalah atau dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya.
Beliau turut bertanya sama ada peguam-peguam dari pendakwaan dan pembelaan ini mempunyai apa-apa bantahan berhubung tarikh keputusan ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Wan Shaharuddin Wan Ladin sementara peguam Datuk N. Sivananthan mewakili tertuduh pertama, pakar patologi Kolonel Dr R.Kunaseegaran.
Manakala lima lagi tertuduh lain diwakili oleh peguam Datuk Sheelan Arjunan mewakili lima tertuduh lain, R. Dinishwaran, A. K. Thinesh Kumar, M. Vishwanath, S. Nimalan dan S. Ravi Chandaran.
Suasana bilik perbicaraan tenang dengan kehadiran beberapa orang ahli keluarga tertuduh yang kebanyakan mereka membawa sedikit barangan asas seperti pakaian, buku dan juga makanan.
Bagaimanapun, MalaysiaGazette mendapati polis mahkamah menegur beberapa orang keluarga terbabit yang seolah-olah enggan mendengar nasihat dan masih mahu memberikan sedikit makanan kepada tertuduh.
Pada 20 November 2017, Azman memerintahkan supaya enam lelaki membela diri terhadap pertuduhan membunuh Morais selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Kunaseegaran, 57, pemberi pinjaman wang; Ravichandran, 49, serta empat pengangur Dinishwaran, 28; Thinesh Kumar, 27; Vishwanath, 30; dan Nimalan, 27, dituduh membunuh Morais ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini, ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama dengan Seksyen 34, dan berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kunaseegaran sebelum ini didakwa bersama dengan lima lelaki melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama, namun pada 15 Mei 2017, pertuduhan itu dipinda kepada mempunyai niat yang sama dengan lima lelaki berkenaan dalam pembunuhan Morais. –MalaysiaGazette