KUALA SELANGOR – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Berkat menyimpan minimum RM30 sebulan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus), Penolong Kanan Pentadbiran, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Widuri di Pulau Pinang, Siti Sara Arshad bertuah membawa pulang sebuah kereta Proton X70 Premium.
Ibu berusia 53 tahun itu tidak menyangka akaun SSPN-i Plus yang dibuka untuk empat anaknya membuatkannya meraih cabutan hadiah dan membawa pulang hadiah utama untuk cabutan WOW! SSPN-i Plus anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tahun lepas.
“Ini adalah satu bonus kerana niat utama saya simpan di SSPN-i Plus adalah untuk simpanan tapi tiba-tiba menang pula kereta, saya bersyukur.
“Hadiah ini sangat istimewa kerana cikgu dapat pen pun dia sudah seronok, dapat kereta lagilah saya seronok.
“Ini juga sempena Hari Guru, jadi hadiah ini mungkin berkat kita kerja dengan amanah mengajar murid-murid sekolah.
“Kereta ini akan saya guna untuk ke sekolah,” katanya kepada media selepas menerima kereta berkenaan di sini hari ini.
Jelas Siti Sara, beliau terpanggil untuk menyimpan di SSPN-i Plus kerana mendapati ia banyak memberikan faedah kepada pendeposit.
Antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000.
“Saya adalah penjawat awam, jadi kami ada potongan cukai pendapatan yang agak banyak, jadi bila PTPTN bagi pelepasan taksiran cukai pendapatan sebanyak RM8,000 jadi saya nampak satu langkah yang baru kalau ramai lagi yang tahu akan pelepasan cukai ini.
“Simpanan ini patuh syariah, jadi simpanan ini biarkan bawa mati pun patuh syariah dan halal. Simpanan ini juga dijamin oleh kerajaan jadi rasa tidak bimbang duit itu akan hilang,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, ia adalah satu program atau pelan simpanan yang diwujudkan oleh PTPTN untuk penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.
“Salah satu manfaat iaitu hadiah cabutan utama telah dimenangi oleh seorang guru daripada Pulau Pinang iaitu Proton X70 Premium,” katanya. – MalaysiaGazette.