Bangunan Tabung Haji. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Umat Islam dinasihatkan berhati-hati dan tidak berurusan dengan pihak tertentu untuk menunaikan haji menggunakan visa diurus sendiri kerana ibadat haji untuk rakyat Malaysia pada tahun ini telah ditangguhkan.

Pada masa ini, Kerajaan Malaysia telah mengawal perjalanan ke luar negara kepada semua rakyat Malaysia ekoran wabak Covid-19 yang melanda dunia.

Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, kenyataan ini dikeluarkan susulan dakwaan berlakunya 51 agensi pengelola haji swasta yang mengalami kerugian besar akibat keputusan Kerajaan Malaysia menangguh ibadah haji tahun ini.

Katanya, Kerajaan Malaysia telah menangguhkan ibadat haji tahun ini demi keselamatan dan kesihatan bakal jemaah khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Penangguhan ini turut melibatkan semua bakal haji termasuk yang bercadang menggunakan visa yang diuruskan sendiri (visa furada).

Menurutnya, untuk musim haji 1441 Hijrah (2020), TH telah meluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 24 syarikat agensi pelancongan sahaja.

Sehingga kini, seramai 2,200 bakal haji telah memilih untuk menunaikan haji menggunakan perkhidmatan pakej PJH yang dilesenkan oleh TH dan anak syarikatnya iaitu TH Travel & Services (THTS).

Tiada sebarang kuota khas diperuntukkan kepada mana-mana PJH atau mana-mana agensi pelancongan swasta.

Berikutan nasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 6 Mac lalu untuk menangguhkan sebarang komitmen kewangan bagi musim haji tahun ini, TH turut memaklumkan perkara yang sama kepada semua 24 syarikat PJH untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Maklum balas yang diterima daripada PJH juga memaklumkan bahawa mereka semua telah membuat perancangan sewajarnya berkaitan sewaan hotel penginapan. – MalaysiaGazette