KUALA LUMPUR – Semua prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan swasta termasuk taman bimbingan dan didikan kanak-kanak akan dibuka mulai 1 Julai ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyatakan perkara itu berkata, prosedur standard operasi (SOP) persekolahan dan pembelajaran kelas itu akan dibentangkan Menteri Pendidikan dalam waktu terdekat.
Katanya, KPM telah membentangkan kepada Mesyuarat Khas pagi ini ini mengenai pembukaan serta SOP prasekolah bawah kementerian dan swasta, Tabika bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Tadika bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“Kerajaan bersetuju untuk pembukaan semua sesi pengajian ini bermula 1 Julai 2020,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Menurut Ismail Sabri, terdapat sebanyak 6,216 prasekolah di bawah KPM dan 7,887 bawah swasta manakala Tabika Perpaduan sebanyak 1,781 kelas dan Tadika Kemas sebanyak 8,530 kelas di seluruh negara. – MalaysiaGazette