Rakyat Malaysia diingatkan tidak melanggar SOP Kesihatan Awam melibatkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan betul. Gambar hiasan

BERMULA 18 Mac 2020, tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan dari fasa ke fasa sehinggalah pada hari ini yang mana dibenarkan kelonggaran untuk lain-lain industri dan komersial dibuka semula untuk fasa pemulihan. Malah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka kepada murid tingkatan 5 dan 6 bermula 24 Jun 2020. Ini bermakna sekurang-kurangnya telah 104 hari murid belajar ‘tanpa sekolah’.

Manakala, untuk lain-lain tahap murid, sehingga kini, tiada garis masa diberikan. Ada laporan yang menyatakan sekolah rendah hanya akan dibuka pada tahun hadapan. Pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia, atau  NUTP menggesa agar dibuka pada penghujung September. Selain itu, pihak pengusaha sekolah swasta pula menggesa dibuka seawal pertengahan Julai, begitu juga pihak persatuan tahfiz yang turut menggesa agar pembukaan disegerakan. Ini bermakna, murid pada lain-lain tahap berpotensi untuk tidak ke sekolah dan hanya melalui pembelajaran maya secara total untuk tempoh sehingga 300 hari.

Soalan asasnya, perlukah buka sekolah dengan segera? Untuk menjawab soalan ini, kita perlu lihat dahulu apa yang berlaku sepanjang lebih 100 hari murid-murid yang sepatutnya berlaku pembelajaran dari rumah. Bukankah walaupun sekolah tidak beroperasi secara bersua muka, pembelajaran terus berlangsung secara maya? Secara berasaskan rumah (home-based learning)? Benarkah ini berlaku?

Statistik daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyatakan bahawa 42% murid berhadapan dengan isu internet yang perlahan, 49% pula menyatakan bahawa sukar belajar di rumah disebabkan gangguan, malah 63% ibu bapa tidak dapat membimbing pembelajaran anak-anak disebabkan tugas kerja masing-masing. Yang lebih menyukarkan, 36% menyatakan kesukaran untuk mendapatkan bahan pembelajaran. Dapatan statistik pelbagai kesukaran ini bolehlah kita fahami bahawa kelompok ini adalah yang melangsungkan pembelajaran secara maya (e-pembelajaran), iaitu dalam lingkungan 60% murid sahaja.

Laporan Khazanah Malaysia pula memetik kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri yang menyatakan bahawa terdapat hampir 40% murid tidak mempunyai sebarang peranti yang sesuai (komputer, tablet mahupun telefon pintar) bagi melakukan pembelajaran secara digital. Ini tidak termasuk yang berkongsi peranti dan yang berhadapan dengan masalah capaian internet.

Maka, kesimpulan kasar yang dapat dibuat dalam konteks ini, sudahlah kesenjangan pembelajaran memang sudah berlaku antara murid bandar dan luar bandar, malah bertambah lagi kesenjangan antara murid dalam satu-satu sekolah, yang seterusnya membawa kepada pertambahan kesenjangan antara murid dalam keluarga bersosiekonomi tinggi dengan bersosiekonomi rendah. Hal ini sahaja sudah cukup parah, yang kita tak perlu pun untuk bongkarkan perihal kesenjangan kepada murid berkeperluan khas, murid asli, dan yang berada di ceruk pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kenyataan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak telah pun mengesahkan bahawa lebih daripada 50% murid di Sarawak tidak mempunyai akses kepada capaian internet. Maka, dapatan di Sarawak ini selari dengan dapatan LPPKN dan kajian KPM seperti di atas, iaitu yang punya kapasiti untuk terus belajar secara maya pada tempoh PKP ini hanyalah dalam lingkungan 50% – 60% sahaja. Manakala, bolehkah dianggap 40% – 50% selebihnya telah pun tidak bersekolah?

Perlu dicatatkan bahawa menurut Akta Pendidikan 550, jumlah hari persekolahan perlu cukup sekurang-kurangnya 190 hari setahun. Apabila dikira bermula 1 Januari sehingga bermula PKP, murid baru bersekolah dalam lingkungan 54 hari. Barangkali, atas faktor itu, kita memahami bahawa KPM tidak mengumumkan bahawa tempoh PKP ini sebagai cuti persekolahan, dan masih belum membuat keputusan berkaitan perubahan pada takwim persekolahan. Malah KPM dilaporkan menyatakan bahawa pihak sekolah mempunyai masa yang cukup bagi menghabiskan sukatan pelajaran dalam takwim persekolahan tahun ini.

Kenyataan ini amat sukar untuk diterjemahkan dalam bilik darjah apabila sekolah dibuka kelak. Jelas sekali terdapat kesenjangan besar terhadap tahap kefahaman antara murid di dalam bilik darjah yang bakal memeningkan kepala cikgu mata pelajaran. Justeru, KPM perlu mengambil langkah yang lebih berani, kreatif dan inklusif agar tiada yang keciciran akibat KPM sendiri enggan untuk menukar paradigma baharu persekolahan. Ambil peluang ini untuk reset dan merombak semula takwim persekolahan dan akui bahawa ini adalah masa terbaik untuk berubah secara total.

Hala tuju kebiasaan baharu pendidikan di Malaysia amat bergantung kepada apa yang KPM pelajari setelah 104 hari.

Oleh: Radin Muhd Imaduddin bin Radin Abdul Halim, Naib Presiden (Pendidikan, Kebudayaan dan Kenegaraan), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

1 Komen

  1. Elok lah dibuka sekolah dan IPT secepat mungkin, sekurang-kurangnya tiada pening ibubapa yang pergi bekerja meninggalkan anak di rumah, risau juga anak-anak takut terjebak dengan masalah sosial. Sudahlah kerja rumah online yang diberi, anak-anak tidak fokus untuk membuatnya. Ibubapa hendak mengajar pun tidaklah tahu dan kepenatan pulang dari kerja. Sekurangnya apabila sekolah dibuka anak-anak tidak keciciran pelajaran.

Comments are closed.