MPPN akan bertanggungjawab menasihati kerajaan melalui kementerian dalam hal-ehwal perpaduan serta membincangkan isu-isu perpaduan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara telah menubuhkan Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) di peringkat kebangsaan.

Ia akan dipengerusikan oleh Menteri Kanan Kluster Sosial dan dianggotai oleh tokoh-tokoh masyarakat merangkumi pelbagai sektor termasuk wakil dari Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta dan individu yang berpengalaman dan berkepakaran
dalam bidang perpaduan.

“Ini adalah selari dengan pengemaskinian dan penyusunan semula struktur jawatankuasa-jawatankuasa perpaduan sedia ada dan teras utama dan hala tuju baharu kerajaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keahlian MPPN adalah dilantik oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi tempoh dua tahun.

MPPN akan bersidang sebanyak enam kali setahun bagi membincangkan isu-isu perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

MPPN disokong oleh Jawatankuasa Pelaksana Perpaduan Negara yang dipengerusikan oleh Menteri Perpaduan Negara di peringkat Kementerian dan Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri yang dipengerusikan oleh ahli-ahli Exco Perpaduan Negeri di
peringkat negeri masing-masing.

MPPN akan bertanggungjawab menasihati kerajaan melalui
kementerian dalam hal-ehwal perpaduan serta membincangkan isu-isu perpaduan, usaha-usaha penyatuan nasional dari pelbagai sudut dan mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik kepada kerajaan untuk menangani isu dan cabaran perpaduan bagi terus mengukuhkan agenda perpaduan nasional.

“Langkah menubuhkan MPPN di peringkat kebangsaan dan
jawatankuasa-jawatankuasa perpaduan di peringkat Kementerian serta negeri adalah bagi memperkukuhkan hal ehwal perpaduan dan integrasi nasional secara bersepadu demi kepentingan rakyat dan negara Malaysia,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette