KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) masih belum menerima penjelasan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) berhubung percanggahan kelayakan akademik dan pengalaman kerja bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Abdul Jalil Rasheed.
Dalam kenyataannya, SC berkata, sebagai pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL), PNB dikehendaki memastikan semua maklumat pelantikan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan yang dikemukakan kepada SC adalah benar dan tepat, setelah ia menjalankan pertanyaan ketekunan sewajarnya.
Ini termasuk pengalaman kerja dan kelayakan akademik yang disertakan dalam borang permohonan dan dokumen sokongan.
Katanya, keperluan ini dinyatakan dengan jelas dalam borang permohonan yang berkaitan.
”Namun baru-baru ini, SC dimaklumkan bahawa terdapat percanggahan dalam serahan oleh syarikat kepada SC berhubung kelayakan akademik dan pengalaman kerja bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya dan sehingga kini telah menerima pengesahan mengenai percanggahan dalam serahan tersebut.
”SC telah memohon penjelasan daripada pihak yang berkenaan mengenai percanggahan ini. Maklum balas PNB terhadap pertanyaan SC masih belum diterima,” kata SC dalam kenyataan tersebut.
Badan pengawal selia itu mengeluarkan kenyataan ini susulan artikel media mengenai pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB yang dikaitkan dengan kelulusan SC
Jelasnya, sesebuah pemegang CMSL hendaklah memperoleh kelulusan SC terlebih dahulu bagi pelantikan ketua eksekutifnya, seperti yang tertakluk di bawah di bawah Panduan Pelesenan (Licensing Handbook) SC.
”Pemegang CMSL dan lembaga pengarahnya dikehendaki menjalankan proses ketekunan wajar ke atas keupayaan dan kecekapan individu tersebut untuk mengetuai entiti berlesen.
“Ini termasuk menilai, antara lain, kemampuan individu tersebut untuk mempamerkan kemahiran dan ketekunan wajar dalam melaksanakan tugasnya,” tambahnya,
SC juga akan menjalankan penilaian kawal selia mengenai latar belakang individu berkenaan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan.
Jelas SC, keperluan dan amalan SC adalah setanding dengan piawaian yang diguna pakai oleh pengawal selia pasaran modal lain di rantau ini. – MalaysiaGazette