KOTA KINABALU – Tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Sabah kerana kerajaan negeri sedia ada mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk mentadbir, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan mahupun cadangan itu, namun, mengikut perlembagaan jelas menunjukkan kerajaan negeri mempunyai dua tahun setengah lagi untuk mentadbir Sabah.
“Biar saya fokus menjalankan pentadbiran dan bukannya pilihan raya (mengejut) ataupun lompat parti …apa yang penting bagi saya sekarang adalah mengurus rakyat dan mengurus ekonomi negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini ketika diminta mengulas kenyataan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Jimmy Wong.
Jimmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong dalam laporan akhbar setempat dipetik sebagai berkata pilihan raya mengejut perlu diadakan di Sabah bagi menghentikan sebarang kemungkinan pembentukan kerajaan “pintu belakang” di Sabah.
Beliau mencadangkan perkara itu susulan ADUN Sugut Datuk James Ratib dan ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury mengumumkan keluar daripada parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan menjadi ADUN Bebas.
UPKO merupakan sebahagian daripada entiti membentuk kerajaan Sabah diterajui Warisan selain DAP dan PKR.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, Sabah tidak memerlukan pilihan raya mengejut atau membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi tujuan itu kerana kerajaan negeri bukanlah kerajaan tergantung berdasarkan jumlah majoriti kerusi yang ada.
“Kita cukup jumlah (kerusi)… kita ada 45 (ADUN). Jadi maknanya kalau pun ada beberapa orang (keluar daripada parti gabungan kerajaan negeri), saya masih tetap (ketua menteri bagi) kerajaan memerintah hari ini,” jelasnya.
Kedudukan kerusi terkini blok kerajaan negeri mempunyai 45 kerusi termasuk empat ADUN dilantik manakala blok pembangkang 20 kerusi termasuk seorang ADUN dilantik.
Blok kerajaan terdiri daripada Warisan dengan 31 kerusi, DAP (enam), UPKO (dua), PKR (dua) dan empat ADUN dilantik manakala blok pembangkang pula meliputi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan sembilan kerusi, Parti Bersatu Sabah (empat), STAR (tiga), Bebas (dua), UMNO (satu) dan satu kerusi ADUN dilantik.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata, tidak ada keperluan untuk beliau meminta Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony mengambil cuti, walaupun naib presiden Warisan itu sedang berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah.
Peter yang juga ADUN Melalap menghadapi lima pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram bernilai RM8.75 juta dan satu lagi pertuduhan bersubahat kes pecah amanah melibatkan pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bernilai RM15,545,400. – MalaysiaGazette
kah kah kerajaan pintu belakang dah gigil..