Dr Ibrahim Komoo

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan negara.

Perkara itu diluahkan gabungan 115 ilmuan doktor falsafah (PhD) di seluruh negara apabila mahu kerajaan menguatkuasakan undang-undang sedia ada serta memperkenalkan undang-undang baru bagi menghukum penggugat kestabilan.

Kesemua 115 ilmuwan PhD itu terdiri daripada dua orang profesor emeritus, 21 profesor, 35 profesor madya dan 57 orang pensyarah kanan.

“Menyedari realiti semasa di Malaysia masa kini, kami 115 ilmuwan PhD dari semua 21 universiti awam (IPTA), empat universiti dan kolej universiti swasta (IPTS) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di negara ini bersatu hati untuk membuat seruan-seruan berikut.

“Menyeru supaya semua golongan rakyat memberi penghormatan dan sokongan penuh kepada kerajaan semasa yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menterinya untuk mengemudi negara sehingga dikembalikan mandat untuk PRU 15 mengikut peruntukan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Menyeru supaya semua pihak akur kepada sistem politik Malaysia yang berteraskan kedaulatan Raja-Raja, keluhuran perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta menghentikan sebarang propaganda dan usaha yang boleh menggugat kestabilan politik demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara terpelihara,” demikian menurut mereka menerusi kenyataan bersama hari ini.

Menurut mereka lagi, semua pihak perlu mengangkat tinggi nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan, melaksanakan urus tadbir yang baik serta memastikan kontrak sosial dan peruntukan-peruntukan teras Perlembagaan Persekutuan, khususnya identiti nasional kita yang berlandaskan identiti Melayu-Muslim, dipatuhi pada setiap masa.

Malah, semua parti politik yang membentuk kerajaan semasa perlu bergabung secara rasmi di dalam wadah Perikatan Nasional (PN) yang perlu didaftarkan bagi membolehkan ia berfungsi dengan lebih berkesan di dalam mencari penyelesaian kepada segala permasalahan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Gabungan itu turut menyeru supaya semua parti politik yang membentuk barisan pembangkang bergabung secara rasmi di dalam wadah Pakatan Harapan (PH) dan membentuk Kabinet bayangannya sendiri bagi membolehkan ia berfungsi dengan lebih berkesan di dalam memainkan peranan semak dan imbang yang sihat dan membina kepada kerajaan semasa. – MalaysiaGazette