Guru menampal pelekat pada lantai bilik darjah sebagai persiapan sebelum sekolah dibuka semula susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest, Gombak, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 JUN 2020

SEMUA pihak ternanti-nanti detik pembukaan sekolah pada 24 Jun ini dengan
perasaan yang bercampur baur. Tatkala sebahagian besar anggota masyarakat
gembira kerana akhirnya anak-anak terutamanya yang akan menduduki peperiksaan
penting dapat kembali ke sekolah, jangan lupa masih ada yang tetap rasa bimbang
memikirkan kesihatan dan keselamatan anak-anak dalam situasi virus Covid-19
masih ada bersama-sama dengan kita.

Apapun kita dapat menarik nafas yang lega apabila meneliti Garis Panduan
Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang telah disediakan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) kerana ianya cukup komprehensif dan meyakinkan. Malah
kita juga wajar memuji segala usaha dan komitmen KPM, sekolah dan guru yang
mula melaksanakan segala Prosedur Standard Operasi (SOP) seperti dalam garis
panduan tersebut bagi memastikan kesihatan dan keselamatan seluruh warga
sekolah sentiasa terjamin.

Dalam konteks ini penulis percaya satu lagi entiti yang turut boleh memainkan
peranan besar dalam membantu mencegah penularan wabak ini di sekolah ialah
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Sebagai entiti yang menjadi jambatan
penghubung antara sekolah, guru dan ibu bapa, entiti ini turut memikul
tanggungjawab untuk membantu sekolah, guru dan juga KPM dalam sama-sama
membantu melindungi kesihatan dan keselamatan anak-anak serta seluruh warga
sekolah.

Antara peranan utama PIBG dalam hal ini ialah, mewujudkan komunikasi yang baik
dan berterusan dengan para ibu bapa. Hal ini penting kerana melalui saluran komunikasi yang efektif PIBG boleh menyampaikan pelbagai perkembangan terkini termasuk arahan serta peraturan kepada ibu bapa supaya mereka mengambil maklum dan bertindak dengan sewajarnya. Misalnya, pihak sekolah akan menetapkan pelbagai SOP yang perlu dipatuhi oleh murid dan SOP ini perlu disampaikan kepada ibu bapa secara terperinci supaya ibu bapa dapat mengambil peluang ini untuk mendidik anak-anak agar mematuhi SOP tersebut.

Di samping itu, PIBG juga boleh menghebahkan kepada ibu bapa semua langkah-
langkah pencegahan yang diambil oleh pihak sekolah demi menjaga kesihatan dan
keselamatan anak-anak. Maklumat ini akan membantu mengurangkan rasa bimbang
ibu bapa, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk menghantar anak-anak
ke sekolah.

PIBG juga boleh mengurangkan beban kewangan sekolah mahupun KPM dengan
cara membantu membekalkan beberapa keperluan yang penting untuk kegunaan
guru dan murid menggunakan dana PIBG. Antaranya, pensanitasi tangan, sabun cuci
tangan serta pelitup muka. Hal ini penting kerana kita yakin bilangan guru dan murid
yang ramai pastinya memerlukan kuantiti peralatan ini dengan lebih banyak. Ini
bukan saja akan menggalakkan anak-anak menjaga kebersihan dengan lebih baik,
malah boleh membantu mencegah penularan wabak ini di sekolah.

Pada masa yang sama ahli jawatankuasa PIBG juga boleh membantu mengurangkan
beban tugas para guru mengikut kesesuaian. Misalnya, ahli jawatankuasa mungkin
boleh bertugas secara bergilir-gilir pada setiap hari untuk bertugas bersama-sama
dengan guru di pintu masuk sekolah bagi melaksanakan saringan kesihatan yang
diperlukan. Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban tugas para guru.

PIBG bersama-sama dengan ibu bapa juga boleh menjalankan tugas-tugas
sukarelawan di sekolah seperti membantu membersihkan atau melaksanakan kerja-
kerja disinfeksi berdasarkan SOP yang ditetapkan di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti dan memerlukan pembersihan secara kerap. Ini juga akan membantu mengurangkan beban pihak sekolah.

Kesimpulannya, menjaga kesihatan dan keselamatan warga sekolah terutamanya
anak-anak bukanlah tanggungjawab sekolah dan guru semata-mata. Entiti penting
seperti PIBG juga boleh memainkan peranan yang besar kerana ianya merupakan
tanggungjawab bersama semua pihak.

Noor Mohamad Shakil Hameed,
Pembaca MalaysiaGazette dan Penganalisis Isu Semasa