Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meluluskan Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan kepada semua pengguna elektrik dalam kategori domestik di Semenanjung Malaysia dengan peruntukan berjumlah RM942 juta.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif itu bagi mengurangkan beban mereka ekoran peningkatan bil elektrik yang dialami sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau menjelaskan, jumlah pengguna elektrik yang mendapat manfaat ialah seramai 7.66 juta.

“Seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan RM77 ke bawah (penggunaan 300kWj ke bawah) akan nikmati elektrik secara percuma bagi bulan April, Mei dan Jun ini.

“Pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj pula akan menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan untuk April, Mei dan Jun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi TNB, Datuk Mahdzir Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Shamsul menambah, bantuan itu merupakan tambahan kepada diskaun bil elektrik di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang telah dilaksanakan sejak 1 April lalu.

Menurut beliau, ia akan disalurkan melalui bil elektrik bermula Julai ini yang menyaksikan pelaksanaan bantuan itu telah meningkat kepada RM2.2 bilion.

Jelasnya, semua pembiayaan bantuan akan ditanggung kerajaan menerusi Kumpulan Wang Indusri Elektrik, Kementerian Kewangan dan juga TNB.

Sejak kebelakangan ini, orang ramai menerusi pelbagai platform termasuk media sosial menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan bil elektrik masing-masing yang naik mendadak hingga mencecah ribuan ringgit setelah TNB menyambung semula pembacaan meter secara fizikal sejak 15 Mei lalu selepas dihentikan sementara susulan PKP sejak 18 Mac lepas. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Alhamdulillah, suara rakyat di dengari, terima kasih TNB, kalau bank sanggup mengurangkan keuntungan demi rakyat, begitulah seharusnya TNB, rakyat pun tidak mahu TNB rugi dan seterusnya terpaksa menjual saham kepada negara asing, sebagaimana kerajaan PH terdahulu jual asset negara. Diharap Pengerusi GLC dikalangan YB Parlimen lebih melihat kesulitan rakyat daripada membesarkan poket sendiri, tentu ada alasan PM melantik YB-YB jadi Pengerusi.

Comments are closed.