PEKAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 70 peratus keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini yang akan berlangsung 4 Julai ini.
Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya berharap pengundi dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu nanti.
“SPR jangkaan keluar mengundi 70 peratus bagi PRK Chini kali ini,” katanya dalam sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, hari ini.
Dalam pada itu, Azhar Azizan berkata pihaknya sangat berpuas hati dengan perjalanan penamaan calon yang berlangsung hari ini.
“Saya amat berpuas hati dengan pematuhan semua pihak tentang proses penamaan calon yang mengikut SOP yang telah ditetapkan.
“Cuma terdapat sedikit perhimpunan di luar itu tetapi saya rasa polis dapat mengambil tindakan dengan baik untuk mengekang perhimpunan tersebut. Saya berharap selepas ini garis panduan atau SOP yang kita keluarkan itu dapat dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azhar Azizan berkata pihaknya menjangkakan keputusan penuh PRK DUN Chini akan dapat diumumkan sebelum jam 10 malam pada 4 Julai depan.
PRK Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, menentang dua calon bebas.
Pegawai PRK, Datuk Zaliza Zulkipli mengumumkan pencalonan Mohd Sharim di samping Timbalan Ketua Bersatu Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan aktivis Mohd Shukri Mohd Ramli pada penamaan calon pagi ini. -MalaysiaGazette