KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam usaha menjaga kebajikan dan keselamatan kira-kira 400,000 mahasiswa di negara ini sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sewajarnya, seluruh mahasiswa mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang komited membantu mereka agar selamat dan bebas dari ancaman wabak Covid-19.
Naib Canselor yang juga Pakar Sosial Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pelbagai kaedah boleh dimanifestasikan ucapan terima kasih mahasiswa kepada kerajaan dan kementerian.
Antara kaedahnya, kata beliau, memberikan sokongan padu kepada kepimpinan KPT dan kerajaan agar negara ini terus makmur serta cemerlang sepanjang masa.
“Wabak Covid-19 yang melanda negara sejak 2019 lalu memberi pelbagai pengalaman sangat berharga kepada seluruh masyarakat di negara ini.
“Walaupun wabak itu belum berakhir sepenuhnya, tetapi kadar penurunan kes baharu sudah dapat dilihat dengan jelas.
“Tahniah dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya barisan hadapan yang berjuang memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan dengan cemerlang dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Prof. Dr. Mohammad Shatar berkata, kejayaan Malaysia membendung penularan wabak Covid-19 secara berkesan itu, hasil komitmen kementerian dan kerajaan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti PKP.
Ujarnya, hampir 400,000 mahasiswa terjejas dengan pelaksanaan PKP itu menyebabkan pergerakan dan aktiviti mereka terbatas.
“Namun, segala kebajikan mereka dijaga sebaik mungkin. Makan dan minum mereka dikawal selia oleh KPT dan Hal Ehwal Pelajar universiti yang terlibat.
“Mahasiswa dalam dan luar kampus dibekalkan sedikit wang saku untuk kegunaan semasa PKP ini berlangsung dan menerima perkhidmatan yang sama daripada KPT dan universiti.
“KPT dan universiti juga sentiasa memastikan keselamatan serta kesihatan mahasiswa terjamin selama hampir tiga bulan terkurung di kampus sehingga dapat pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.
Selain itu, katanya, segala urusan proses perjalanan pulang semua mahsiswa Sabah dan Sarawak diusaha serta ditanggung sepenuh oleh kerajaan.
“Mahasiswa yang berada di Semenanjung dihantar pulang menggunakan bas universiti masing-masing.
“Layanan dan penjagaan istimewa terhadap mahasiswa ini ibarat menatang minyak yang penuh. Sesuatu yang tidak berlaku di negara lain sama ada negara maju seperti Kanada, Amerika, England dan Jepun.
“Rakyat negara ini tidak akan merasa layanan yang pernah dinikmati oleh mahasiwa di Malaysia semasa berhadapan dengan Covid-19 ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette