KUALA LUMPUR – Semua pertubuhan, persatuan dan organisasi yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) termasuk parti politik dibenarkan untuk bersidang dan bermesyuarat agung mulai 1 Julai ini.
Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti riadah, kolam renang, pawagam dan teater juga dibenarkan beroperasi.
Bagaimanapun, katanya, semua itu perlu mematuhi SOP asas yang ditetapkan seperti penjarakan sosial, memakai pelitup muka, memeriksa suhu badan dan kehadiran peserta tidak melebihi 250 orang atau jumlah mengikut keluasan dewan dan tempat bermesyuarat.
Menurut beliau, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri pagi ini yang turut merangkumi penganjuran seminar, kursus, latihan dan sebagainya yang berkaitan dengan aktiviti utama organisasi.
“RoS telah buat pembentangan SOP dan kita bersetuju membenarkan penganjuran mesyuarat, seminar dan kursus mulai 1 Julai ini, tetapi kehadiran peserta tidak melebihi 250 orang.
“Kebenaran ini meliputi semua organisasi yang berdaftar dengan RoS, termasuk parti politik, persatuan penduduk, Persatuan Ibu Bapa dan Penjaga (PIBG), persatuan koperasi, persatuan belia, pertubuhan peladang dan apa saja yang berkaitan,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Mengenai riadah kolam renang, Ismail Sabri berkata, aktiviti itu melibatkan kolam renang awam, kolam renang hotel, kolam renang kondominium serta kawasan terkawal yang berpagar dan persendirian.
Prasyaratnya kata beliau, mesti menyediakan penyelia atau pengawal keselamatan untuk memantau dan memastikan keselamatan pengguna.
“Mengenai jumlah yang boleh menggunakan kolam renang pada satu-satu masa, jumlahnya tertakluk kepada keluasan kolam berkenaan dan tidak boleh berasak-asak.
“Setiap pengguna perlu mematuhi SOP seperti penjarakan sosial tiga meter dalam kolam, masa berada dalam kolam dihadkan, termasuk memeriksa kandungan klorin serta mesti mandi sebelum masuk ke kolam dan selepas keluar dari kolam renang,” katanya.
Mengenai kolam renang kanak-kanak, beliau berkata, pihaknya masih tidak menggalakkan mereka beraktiviti di kolam renang, tetapi ibu bapa perlu mengambil pendekatan kawalan kendiri terhadap anak masing-masing.
“Kita tiada halangan, tetapi kita masih tidak galak mereka menggunakannya. Ibu bapa perlu ambil pendekatan sendiri, iaitu kawalan kendiri untuk kawal anak mereka.
“Pihak pengurusan kolam perlu mendaftar dengan MITI yang boleh dibuat menerusi laman web kementerian itu, selain melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi pematuhan SOP,” katanya.
Begitu juga, kata beliau, aktiviti riadah berkaitan air seperti laut, tepi pantai, sungai dan tasik juga dibenarkan, kecuali taman tema air belum boleh beroperasi.
Kata Ismail Sabri, mesyuarat juga bersetuju membenarkan pawagam dan teater beroperasi 1 Julai ini, tetapi khusus di kawasan tertutup atau dalam dewan tertutup dengan SOP mesti dipatuhi dari segi kawalan kemasukan.
“Sebelum masuk suhu badan mesti diperiksa, pakai pelitup muka, mencuci tangan dengan sanitizer dan pengusaha panggung wayang mesti meletakkan papan tanda peringatan mengenai penjarakan sosial,” kata beliau. – MalaysiaGazette