Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat Lembaga Tabung Haji (TH).

Walaupun RCI mengenai TH bukanlah sebahagian daripada janji Kerajaan PN tetapi janji manifesto Kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun rakyat berhak mendapat penjelasan yang tuntas dan telus mengenai pelbagai tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan oleh kerajaan dahulu.

Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH yang sehingga kini tiada satu pun didakwa ke muka pengadilan, sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuklah ura-ura pengurangan subsidi buat jemaah haji atas justifikasi konsep Istitoah oleh bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Selain itu, kata, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki, isu jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit TH.

”Ini tidak termasuk aset-aset lain TH bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd. Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan TH,” kata Ketua Pemuda UMNO.

Jelasnya, pendedahan surat TH oleh Datuk Seri Najib Razak yang menunjukkan dengan jelas Mujahid telah meluluskan hak perlucutan pertama terhadap pembelian semula 18 aset hartanah TH yang telah dipindahkan ke Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), jelas mencetuskan keresahan rakyat.

“Harus diingat TH adalah institusi yang cukup bernilai di hati rakyat Malaysia. Sebelum PH memerintah, TH tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhannya yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

”Kecemerlangan TH sebelum ini bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25% setelah ditolak zakat 2.5%.

”Sebab itulah, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan,” tegasnya,

Oleh itu, Pemuda UMNO Malaysia meminta agar Kerajaan PN dapat segera menubuhkan RCI bagi menyiasat segala dakwaan penyelewengan dalam TH bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Jutaan orang2 Islam menaruh harapan tinggi kepada TH! Ianya pernah dimusnahkan semasa pemerintahan Pakatan Hancing.

    Carilah pengurus2 dana terbaik, pengurus2 terbaik dan mereka yang terbaik punyai pengalaman luas dalam pengurusan kewangan.

    Segerakanlah penubuhan RCI kerana ramai yang ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku?

Comments are closed.