Norlin Jaafar

RAWANG – Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih mengkaji cadangan untuk menambah luas zon penampan yang selamat antara zon perindustrian dan perumahan.

Menurut Ketua Pengarahnya Norlin Jaafar, kini JAS menyediakan garis panduan penampan bagi industri dan perumahan untuk kemudahan rujukan pihak berkepentingan.

“Kita masih lagi di peringkat kajian. Garis panduan itu kita telah sedia ada dan pihak berkepentingan boleh merujuk garis panduan tersebut dengan mengambil kira teknologi terkini dan perkara lain yang dilihat dapat menentukan zon penampan tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu beliau ditanya tentang saranan pakar sebelum ini, bahawa zon penampan yang disediakan JAS tidak begitu releven apabila kurang memberi penekanan terhadap aspek keselamatan terutama membabitkan industri berat.

Justeru panduan bagi menentukan zon penampan yang selamat di antara zon perindustrian dan perumahan wajar dikaji semula bagi mengurangkan risiko apabila berlaku pencemaran.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini menyatakan kesediaan untuk meluaskan zon penampan yang selamat antara zon perindustrian dan perumahan kepada antara satu hingga dua kilometer (km) berbanding 50 hingga 500 meter (m) ketika ini.

Norlin menambah, perbincangan berterusan dijalankan oleh pihaknya dengan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), pihak industri termasuklah PLANMalaysia untuk melihat syor zon penampan secara lebih terperinci. – MalaysiaGazette