KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew kini menawarkan 100 peluang pekerjaan di pasar raya miliknya diberi nama Elews Mart.
Ebit memberitahu, jawatan itu membabitkan jawatan Pengurus Cawangan, Penolong Pengurus, Pegawai Pemasaran, Penyelia dan Kakitangan Runcit.
Jelas beliau, Elews yang akan beroperasi di 10 cawangan sedang dalam proses pengubahsuaian dan dijangka beroperasi pada pertengahan Julai ini.
”Tujuan penubuhan premis tersebut adalah untuk menawarkan harga barangan paling murah bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan dan juga membuka peluang pekerjaan lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ramai yang hilang pekerjaan.
“Antara cawangan yang terlibat di Bandar Baru Bangi,Kajang, Cyberjaya, Subang Perdana, Sungai Buloh, Prima Sri Gombak, Gombak Traders, Shah Alam, Damansara dan Balakong,” tulis di Facebook miliknya.
Menerusi perkongsian sama, Ebit turut menyertakan emel untuk mereka yang berminat mencari pekerjaan menghantar resume.
Sebelum ini, Ebit berkata pihaknya akan memberikan harga barangan paling murah dan turut disediakan bantuan percuma ataupun food bank di setiap cawangan untuk membantu mereka yang memerlukan. – MalaysiaGazette