SHAH ALAM – Hari pertama sesi persekolahan hari ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu menyaksikan jumlah pelajar di dalam kelas tidak melebihi 20 orang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, jumlah itu antara beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan melalui buku garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 4 Jun lalu.
Beliau berkata, kantin sekolah juga tidak beroperasi dan pelajar akan diberikan pek makanan pada waktu rehat.
“Saya sebagai Ketua Pemantau Pematuhan PKPP (Pemulihan) di daerah ini, SOP yang ditetapkan telah dipatuhi sepenuhnya.
“Ibu bapa juga tidak perlu risau tentang keselamatan dan kesihatan anak mereka kerana pihak sekolah telah memberi jaminan untuk mematuhi semua SOP KPM,” katanya.
Beliau ditemui pihak media selepas membuat lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 di sini hari ini.
Mengulas mengenai lawatannya, Baharudin memberitahu, keadaan semua pelajar yang hadir disahkan sihat selepas suhu badan mereka diperiksa.
Jelas beliau, pelajar juga disediakan pelitup muka dan perlu menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum masuk ke kelas.
“Pihak kami turut menempatkan anggota sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah di setiap sekolah di daerah ini untuk memantau pematuhan SOP di sekolah seperti ditetapkan KPM,” katanya.
Sementara itu seramai, 356 pelajar hadir pada sesi persekolahan hari pertama selepas PKP di sekolah tersebut yang berjalan dengan lancar dan teratur sejak awal pagi.
Suasana ceria dapat dilihat kerana mereka akhirnya kembali rakan-rakan selepas tiga bulan belajar di atas talian sepanjang PKP dan PKPB (Bersyarat).
Pada 7 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diganti dengan Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos ini dengan banyak kelonggaran diberikan termasuk sekolah dibuka semula.
Pada 1 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi menggantikan PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette