Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan pendakwaan untuk meminda tuduhan kes pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi membenarkan pendakwaan meminda pertuduhan penyalahgunaan kuasa dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung mengubah laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Selain Najib, turut dituduh adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Arul Kanda Kandasamy.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ketika membacakan keputusannya berkata, pindaan yang dipohon oleh pendakwaan sebenarnya tidak akan menjejaskan atau prejudis kepada kedua-dua tertuduh.

Kata Mohamed Zaini, pihak pembelaan juga akan mempunyai peluang memanggil serta menyoal mana-mana saksi pendakwaan yang pernah memberi keterangan sebelum ini.

“Mahkamah memutuskan untuk memberi kebenaran pendakwaan melakukan pindaan pertuduhan berkaitan pindaan Laporan Pengauditan Laporan 1MDB,” katanya.

Jurubahasa mahkamah kemudian membacakan tuduhan yang dipinda itu kepada Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya dan Arul Kanda yang didakwa bersubahat melakukan kesalahan berkenaan.

Kedua-dua mereka mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap tuduhan pindaan itu.

Artikel berkaitan: Pinda Laporan 1MDB: Pendakwaan diarah cepatkan serah dokumen pada pembelaan

Minggu lepas ketika prosiding, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pada awal perbicaraan, pendakwaan meminda tuduhan terhadap Najib dan Arul Kanda dengan mendakwa Najib menyalahgunakan kedudukan dan menyebabkan pindaan kepada Laporan Pengauditan 1MDB yang disediakan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, sebelum ia dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC.

“Ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen pada tahun 2018, tuduhan yang dikenakan ialah anak guam saya menyebabkan pindaan kepada laporan itu yang sedang disediakan pada Februari 2016 sebelum dimuktamadkan.

“Sekarang pihak pendakwaan mahu menyatakan bahawa laporan itu sudah dimuktamadkan,” ujarnya.

Muhammad Shafee ketika itu membantah permohonan pindaan itu kerana ia boleh menyebabkan implikasi serius terhadap kes pembelaan. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hehehe…this is the strategy used by Tommy Romas/Letfy Koyak n PHaruupun….. Charge je dulu… Belakang kita citer. Amend pertuduhan suka2 hati. Change tanpa dibicarakan seperti kes ex cm sabah n reza aziz…. Memang lah ini semua hak pendakwa…but it shows your quality of work and integrity

Comments are closed.