Keadaan banjir di Muar yang turut menjejaskan kawasan tempat tinggal Che Pah.

Marhaba.. Takdir yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Kuasa tidak mungkin siapa dapat menelah.

Kita sebagai hamba hanya boleh merancang namun Allah jua yang menetapkannya. Allah tahu apa yang terbaik buat kita.

Kejadian yang kurang baik pada hemat kita andai diteliti serta diperhalusi sebenarnya terselit seribu hikmah di sebaliknya.

Semua yang telah ditetapkan Ilahi itu sebenarnya baik untuk kita. Allah yang menciptakan kita, maka Dia tahu apa yang terbaik buat umatnya.

Mengikut perancangan, Che Pah hendak memperuntukkan masa seminggu ini di Putrajaya. Ada beberapa tugasan harus diselesai kan.

Namun apakan daya, perancangan Allah melebihi segala galanya. Tidak mampu hamba selemah Che Pah untuk menolaknya.Che Pah ditakdurkan harus berada di Muar.

Segalanya bermula pada subuh hari Sabtu minggu lalu. Sekitar jam 4 pagi, Che Pah yang sedang lena diulit mimpi terkejut dek dentuman guruh yang menggegarkan kepekatan malam.

Terkebil kebil sebentar mata Che Pah selepas terkejut dek dentuman guruh tersebut. Separuh hati mengajak Che Pah bangun lantas mandi serta mengerjakan apa yang patut bagi menghiasi dua pertiga malam..

Namun separuh lagi hati berasa tak berdaya untuk bangun… Ahh biarlah dulu, nanti jam 5 pagi baru bangun dan mandi, getus hati Che Pah

Akhirnya tepat jam 5 pagi, Che Pah bingkas bangun. Waktu itu sudah terdengar rintik hujan mula memukul zink rumah.

Hujan mula turun renyai diselang seli dengan pukulan angin kuat yang memecah keheningan subuh.

Hati Che Pah berkata, lain benar pukulan angin subuh ini. Ia seolah olah memberi gambaran yang ribut hujan akan berlaku.

Namun tidak Che Pah endahkan. Lantas Che Pah terus masuk ke bilik air untuk membersihkan diri. Kala menginjak kaki ke pintu bilik air, hujan sudah mula mendesah di luar.

Semakin lama semakin lebat. Hingar bingar bunyinya apabila ia mula menghentam zink di bahagian dapur rumah Che Pah.

Selesai mandi dan mengenakan jubah, Che Pah bergegas ke bahagian depan rumah untuk menghadap diri pada Allah Yang Satu.

Tidak berapa lama kemudian, sayup sayup kedengaran muazzin melaungkan azan dari Surau Sabtu yang terletak berdekatan rumah Che Pah.

Suara muazzin tenggelam timbul akibat bunyi hujan yang terlalu lebat. Kadang jelas kadang hampir tidak kedengaran

Selesai solat sunat fajar, Che Pah laksanakan solat Subuh

Usai memberi salam, Che Pah tergerak untuk mengambil telefon bimbit yang terletak di ruang dapur Che Pah.

Kala Che Pah menginjakkan kaki ke ruangan tersebut, Che Pah terkejut kerana kaki terasa seolah tercelup ke dalam air.

Air apa pula di lantai ini, tanya kata hati Che Pah sekaligus mata Che Pah memandang terus ke lantai.

Allah.. Itulah kata pertama yang terpacul dari mulut comel Che Pah. Bahagian dapur rumah Che Pah rupanya sudah mula dinaiki air.

Waktu itu air sudah mencecah bahagian tumit kaki Che Pah yang panjang bak model catwalk ini.

Che Pah lihat air sudah mula masuk membanjiri bahagian dapur perlahan lahan. Che Pah lantas terus membuka pintu tengah rumah Che Pah bagi meninjau apa yang berlaku di luar.

Subhannallah… Halaman rumah Che Pah sudah dibanjiri air. Halaman rumah seolah sudah menjadi tasik. Pasu bunga dan rumput sudah tidak kelihatan lagi.

Parit sudah penuh dengan air sehingga menghapus tebing. Hujan masih mencurah dengan lebat. Tiada tanda akan berhenti.

Hanya Allah saja yang tahu betapa panik Che Pah di waktu itu. Che Pah tidak pernah berhadapan keadaan sebegini seumur hidup Che Pah. Ini kali pertama.

Dalam hati Che Pah terus berdoa semoga Allah hentikan hujan. Setiap lima minit sekali Che Pah buka pintu depan untuk meninjau setinggi mana air sudah naik.

Sekitar jam 6 pagi, air di bahagian dapur Che Pah sudah separas betis. Che Pah sudah semakin kaget.

Che Pah hubungi sepupu yang tinggal di kawasan Sabak Awor, Muar. Kawasan perkampungan disitu antara tempat paling teruk dilanda banjir kilat.

Kata sepupu Che Pah, air sudah mula memenuhi bahagian depan sehingga ke dapur rumahnya. Barang barang sudah dinaikkan ke tempat lebih tinggi.

Che Pah cuba hubungi Jabatan Pengairan dan Saliran Bandar Muar untuk mengetahui keadaan sebenar. Namun malang tiada yang menjawap kerana ditutup pada hujung minggu.

Tidak berapa lama kemudian, salah seorang jiran Che Pah menghantar pesanan suara melalui whatssup tentang keadaan terkini banjir kilat di Muar.

Katanya kawasan Bakri dan jalan menuju ke Yong Peng telah ditutup akibat paras air semakin meningkat. Terdapat beberapa biji kereta sudah dihanyutkan banjir.

Barulah Che Pah jelas dengan keadaan yang menimpa. Muar dilanda banjir kilat. Keadaan sebegini sebenarnya sangat langka di Bandar Muar dan boleh dikatakan mustahil berlaku.

Selalunya banjir berlaku di bahagian kampung dan tidaklah seteruk ini. Banjir kilat kali ini melibatkan banyak penempatan. Hospital Sultanah Fatimah juga tidak terkecuali kerana berada berdekatan dengan Sungai Muar.

Kejadian ini benar benar bersejarah buat Che Pah. Sambil menunggu air surut, sekilas minda Che Pah mula terfikir tentang perasaan mereka yang dilanda banjir lebih besar dan kejadian buruk umpama tsunami.

Che Pah baru diuji dengan banjir kilat sebegini pun sudah mula kelam kabut dibuatnya, apatah lagi mereka yang diuji dengan kejadian lebih besar.

Ujian sekecil ini sudah membuat Che Pah resah. Duduk salah. Berdiri tak tentu arah. Ke depan gusar. Ke dapur berdebar.

Dalam segala keresahan itu, Che Pah titipkan doa. Che Pah bercakap dengan Yang Maha Kuasa.

Sedarlah Che Pah bahawa kita sebagai hamba ini sememangnya sangat lemah. Apa yang mampu kita buat? Tiada apa kecuali terus berdoa kepada Dia.

Pada siapa yang boleh kita harapkan lagi? Tiada siapa kecuali Dia. Mampukah kita menahan air banjir itu dari terus naik dengan tenaga kita?.. Jawapannya kita tiada upaya.

Kita hanya hamba. Hamba yang tiada punya apa apa. Kederat yang ada milik Dia. Apabila Dia izinkan, barulah kederat mampu menggerakkan segala anggota dan pancaindera.

Namun alhamdulillah, selepas lebih tiga jam hujan lebat turun, Allah Yang Mengasihani menghentikannya. Air mula surut sedikit demi sedikit.

Che Pah ucap tahniah buat Majlis Perbandaran Muar yang pantas mengerahkan tenaga kerja bagi membantu warga yang terlibat dengan banjir kilat.

Pusat penempatan sementara banjir dibuka serta merta untuk memindahkan mangsa banjir. Anggota polis cepat mengawal lalu lintas yang terlibat banjir.

Anggota Jabatan Pertahanan Awam juga menyinsing lengan membantu membawa keluar keluarga yang terlibat banjir lantas dihantar ke pusat penempatan sementara.

Bagi Che Pah ini satu sejarah buat diri yang kerdil ini. Selepas kes Covid 19, Allah didik pula Che Pah berhadapan suasana segenting ini.

Sehingga kisah ini ditulis Che Pah masih bergelut membersihkan ruang yang dilanda banjir. Lantai sudah dicuci. Kain baju yang terendam air banjir harus dibasuh.

Namun alhamdulillah Che Pah berupaya hadapinya dengan baik. Allah pinjamkan hambaNya ini dengan jiwa yang kental. Che Pah hadapi semuanya dengan tabah. Terima Kasih Allah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast