KUALA LUMPUR – Malaysia sepatutnya mencontohi Singapura untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) berikutan keadaan politik yang huru hara ketika ini.
Senada dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC) merangkap Timbalan Ketua MIC Bahagian, Veeran Muniandy turut mencadangkan agar pembubaran Parlimen dilakukan dengan segera.
Kata Veeran, langkah itu adalah untuk memberi kerajaan yang memerintah mandat rakyat serta lebih diyakini.
“Sebenarnya adalah satu realiti bahawa negara ketika ini berada dalam keadaan politik tidak stabil yang akhirnya akan membawa kepada pelbagai isu sukar ditangani kelak.
“Sudahlah kita baharu sahaja melalui satu fasa pandemik Covid-19 yang masih lagi menyebabkan rata-rata rakyat di negara terumbang ambing, ditambah musibah politik berpanjangan.
“Hakikatnya Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti ini sejak merdeka. Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu ambil kira langkah terbaik pembubaran Parlimen ini.
“Beliau perlu mengikut langkah Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang telah membubarkan Parlimen republik tersebut. Itulah yang sebaiknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Mohamad berkata, keadaan politik semasa negara ketika ini sangat menyukarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal.
Ini termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi yang dihadapinya.
Kelmarin, Hsien Loong, menasihatkan Presiden republik itu supaya membubarkan Parlimen.
Ini berikutan keputusan beliau untuk mengadakan PRU selepas mendapati keadaan di negara itu sudah stabil untukm elaksanakannya, walaupun masih memerangi pandemik Covid-19.
Kata Veeran, kemajuan serta kemakmuran Malaysia bergantung kepada keadaan politik namun kini ia menjadi persoalan.
“Ingat, kita hanya boleh tarik pelabur masuk jika keadaan politik stabil. Tidak lupa dengan perkara-perkara lain.
“Bagaimana pula hendak luluskan apa-apa rang undang-undang penting termasuk pembentangan bajet seandaiya masing-masing sudah berpecah belah? Semua ini penting untuk pulihkan negara lebih-lebih lagi selepas berperang dengan Covid-19.
“Tidak ada yang stabil dan seimbang jika kerajaan mahupun Parlimen tidak dapat berfungsi dengan baik dan betul. Tengok sahaja keadaan pemimpin politik sekarang lebih-lebih lagi pembangkang.
“Masing-masing hendak memboikot dan bawa undi tidak percaya dan sebagainya. Bagaimana negara ini hendak berfungsi jika ini berlarutan? Masing-masing bercakap tentang ‘angka’, tidak pasti apakah kesudahan ini.
“Lebih baik bubar Parlimen, beri rakyat mandat untuk tentukan sebuah kerajaan yang jauh lebih stabil dan diyakini. Kasihan kepada rakyat yang akhirnya terpaksa menanggung ‘ketidakstabilan’ ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette
Itulah cara terbaik untuk penyelesaian yang dapat memberi kestabilan dan petunjuk kepada marhaen Malaysia bahawa negara ini berada di tangan yang jujur dan mengutamakan mereka bukan untuk diagih-agih kepada anak beranak, sahabat handai, cucu cicit atau turun menurun.