Foto hiasan

KUALA LUMPUR  – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyaki kes malaria membabitkan 14 individu termasuk seorang warga tempatan di Ampang, Selangor, berpunca daripada seorang pekerja asing yang mendapat jangkitan di negara asal.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan penyakit itu, disyaki berpunca daripada seorang pekerja pembinaan warga Indonesia yang mendapat jangkitan dari Aceh, Indonesia.

“Jangkitan telah merebak kepada rakan sekerja serta penduduk berdekatan termasuk seorang warganegara Malaysia. Kes terakhir dilaporkan pada 12 Jun dan kini situasi adalah terkawal,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada 14 individu yang dijangkiti, sembilan adalah warga Indonesia, Bangladesh (tiga) dan masing-masing satu kes membabitkan warga Malaysia dan Nepal.

Katanya 13 kes dikesan melalui aktiviti pengesanan kes aktif selepas menerima notifikasi satu kes malaria pada 20 Mei lepas dari Hospital Ampang, yang melibatkan seorang pekerja Bangladesh di tapak pembinaan sebuah lebuh raya di Ampang, Selangor.

Setakat ini, seramai 3,017 orang telah disaring melalui ujian slaid darah.

“Hasil daripada aktiviti saringan ini, 10 orang lagi telah dikesan dijangkiti malaria dan kesemua mereka bukan warganegara. Pada masa sama, sebanyak tiga kes dikesan di kemudahan kesihatan berdekatan iaitu dua warganegara asing dan seorang warga Malaysia,” katanya.

Kesemua kes telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya dan disahkan sembuh, kata beliau.

Dr Noor Hisham berkata sebagai langkah pencegahan dan kawalan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat menjalankan aktiviti semburan racun residu di 193 rumah kongsi pekerja dan mengedarkan 340 kelambu berubat sebagai perlindungan kepada pekerja.

Katanya tempat-tempat takungan air di kawasan tapak pembinaan dan tempat ditemui jentik-jentik telah dibubuh racun pembunuh jentik-jentik, selain aktiviti kawalan malaria diperluaskan ke kawasan perumahan berdekatan.

“KKM juga mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pihak pengurusan projek pembinaan lebuh raya bagi membincangkan pelaksanaan aktiviti kawalan. Penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154) turut dilaksanakan,” katanya.

Dr Noor Hisham menasihati komuniti di kawasan itu supaya mengambil langkah mengurangkan risiko jangkitan malaria dengan mengelakkan aktiviti di luar rumah pada waktu malam, mencegah daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan repelen, memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila berada di luar rumah serta mendapatkan rawatan segera di kemudahan kesihatan sekiranya mengalami demam, sejuk dan menggigil.

— BERNAMA