Pegunjung yang hadir melihat hasil seni lukisan Kartun “Kartunis VS Covid-19” di Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Golongan kartunis di negara ini mengambil kesempatan menjadikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai peluang untuk mengembangkan karya masing-masing.

Malah, arahan itu bukanlah halangan, sebaliknya ada dalam kalangan mereka yang menjadikan sekatan tersebut sebagai satu cara untuk memberikan khidmat kepada masyarakat.

Sebagai contoh, kartunis Ahmad Hilmy Abdullah memberitahu, beliau berjaya menghasilkan kira-kira 100 lukisan karya kartunnya sepanjang tempoh PKP yang penuh dengan nasihat dan teladan.

Katanya, sebagai seorang kartunis beliau mempunyai cara sendiri untuk menyampaikan nasihat kepada orang ramai berhubung sekatan yang dikenakan kerajaan itu.

Ahmad yang dikenali dengan panggilan Mie berkata, beliau bercadang untuk menjadikan hasil karyanya itu dalam bentuk buku dan akan dijual.

Kartunis, Ahmad Hilmy Abdullah

“Ada juga kartun-kartun ini yang saya jual secara online dan ada sahaja pembelinya.

“Ini pun satu cara untuk dapatkan income (pendapatan) semasa PKP walaupun saya berkarya dari rumah,” katanya ketika ditemui di pameran kartun di Taman Botani, di sini hari ini.

Perkara sama turut dilakukan oleh Nazri Mohd Salleh atau nama kartunisnya Miki apabila sebahagian besar masanya ketika PKP digunakan untuk melakar kartun berunsur pengajaran.

Katanya, beliau melihat cara menasihat lebih berkesan jika diadaptasikan dalam bentuk persembahan kartun kerana ia mempunyai ciri-ciri penyampaian yang unik dan boleh diterima di semua peringkat.

“Kita boleh nasihat orang dalam bermacam bentuk dan kalau ia disampaikan dengan cara lukisan kartun ini ia boleh memberi kesan terutama kepada kanak-kanak,” ujarnya.

Kartunis, Nazri Mohd Salleh,

Sementara itu, seorang lagi kartunis Norkamaro Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Maro berkata, kartunis mempunyai imaginasi yang tinggi dalam menyampaikan sesuatu perkara atau isu.

Jelasnya, ramai yang menyukai penyampaian sesuatu perkara dalam bentuk kartun kerana ia muda difahami dan amat menarik.

Justeru, beliau menggesa pihak kerajaan agar tidak sesekali meminggirkan golongan kartunis kerana mereka juga mempunyai jasa dalam membangunkan negara.

“Saya harap kerajaan dapat membantu kami golongan kartunis ini mengikut kesesuaian yang perlu.

Kartunis, Norkamaro Mohd Noor

“Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberi sesuatu yang boleh kami hargai sampai bila-bila,” katanya. – MalaysiaGazette