Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media khas berkenaan isu politik yang melanda negara ketika ini di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa sedang menghulurkan umpan kepada Sabah dan Sarawak apabila beliau secara terbuka mencalonkan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri, kata penganalisis politik.

Keikhlasan bekas Perdana Menteri itu mengetengahkan nama Shafie juga dipersoalkan kerana mengapa baru sekarang beliau muncul dengan idea tersebut.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr. Jeniri Amir menyorot percaturan politik oleh Dr Mahathir itu sebagai langkah drastik dan terdesak semata-mata untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri.

Katanya, semasa menjawat jawatan nombor satu negara, Dr Mahathir sentiasa menolak untuk memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada pemimpin Sabah atau Sarawak, jauh sekali untuk menamakan mereka sebagai penggantinya.

”Bagi saya ini hanya umpan untuk memerangkap pemimpin Sabah dan Sarawak. Kenapa tidak dulu? Masa jadi Perdana Menteri ketujuh dicadang wujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk Sabah dan Sarawak tapi beliau tidak buat.

“Tindakan Dr Mahathir ini menggambarkan kecelaruan dalam pemikiran beliau sendiri selepas menyedari segala langkah yang diambilnya selepas meletakkan jawatan berdepan pelbagai hambatan, sekali gus menunjukkan beliau sudah tidak mempunyai pengaruh dalam Pakatan Harapan.

“Beliau bagai melukut di tepi gantang dalam Pakatan Harapan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Jeniri, Dr Mahathir sebenarnya tidak berhak mencatur politik parti pembangkang apatah lagi  beliau sudah tidak memiliki pengaruh dalam Pakatan Harapan.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga tidak berhak menentukan pergerakan politik Pakatan Harapan dalam keadaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini hanya memiliki 16 kerusi Parlimen sahaja.

Namun pemerhati politik itu hairan, bagaimana ada rakan gabungan Pakatan Harapan sehingga hari ini tunduk dengan Dr Mahathir seolah-olah ‘lembu dicucuk hidung’ meskipun beliau tidak lagi mempunyai kuasa.

“Beliau cuba menjadi penentu politik semasa sedangkan kedudukannya tidak lagi sama seperti sebelum ini. Bagaimana pihak yang tidak mempunyai parti dapat menentukan siapa perlu jadi Perdana Menteri?

“Komponen Pakatan Harapan hari ini bagai dicucuk hidung ikut sahaja, seolah-olah mereka tidak berkeupayaan, tidak boleh berdiri sebagai pemimpin yang berwibawa. Itu bukan tugas Tun M, beliau tidak ada hak.

”Yang berhak mereka yang punya kerusi yang banyak tapi sejak Pakatan Harapan menang, orang dalam Pakatan Harapan berkorban untuk memenuhi kehendak Dr Mahathir sedangkan beliau tidak lagi mempunyai legitimasi politik untuk bersuara,” jelas beliau.

Ditambah pula, calon Perdana Menteri yang terbit daripada Dr Mahathir sentiasa berubah-ubah demi kepentingan dirinya.

“Calon Perdana Menteri dalam Pakatan Harapan sentiasa berubah-ubah ubah demi kepentingan dirinya, ini jelas memberi petunjuk bahawa  beliau bermati-matian tidak mahu Anwar calon Perdana Menteri hingga sanggup pula mengambil tindakan drastik mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dengan memposisikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz,” katanya lagi.

Meskipun Shafie boleh terbuai dengan pencalonan dirinya, namun Ketua Menteri Sabah itu perlu membuka mata dan mempertimbangkan secara terperinci motif dan agenda sebenar Dr Mahathir.

“Sudah tentulah dia (Shafie Apdal) seronok tapi dia berhak pertikai motif dan agenda cadangan itu kerana mengapa cadangan itu ditimbulkan sekarang,” ujarnya.

Meskipun perangkap dibuat untuk dua negeri Borneo, Jeneri yakin Sarawak tidak akan terpengaruh dengan percaturan Ahli Parlimen Langkawi ini.- MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.