KUALA LUMPUR – Tempoh 14 hari dari sekarang menjadi fasa penting dan penentu pengoperasian semula Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selepas terhenti akibat Covid-19 pada Mac lalu.
Ahli Majlis MARA, Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, aspek pematuhan menjadi keutamaan pengurusan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang kini dalam persediaan akhir menerima kemasukan semula pelajar tingkatan 5.
Menurutnya, bagi memastikan persediaan logistik pelajar dan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam normal baharu dipatuhi, pengurusan MRSM komited dan serius meneliti setiap keperluan berkaitannya.
“Berdasarkan keperluan tersebut, wakil daripada bahagian pengurusan MRSM akan menilai segala kriteria ditetapkan di semua pusat pendidikan ini bagi memastikan setiap pelajar berdaftar nanti akan terjamin keselamatan dan keselesaannya.
“Saya sendiri telah melawat MRSM Pasir Tumboh dan MRSM Jeli, Kelantan untuk melihat kesemua persiapan yang telah dan sedang dibuat sebagai persediaan mengalu-alukan pendaftaran pelajar tingkatan 5 berpaksikan norma baharu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam rangka lawatan ke MRSM Pasir Tumboh, Mohamed Farid yang ditemani Pengetua, Noora @ Roslily Mohd Adam dan Pengarah MARA Negeri, Zulkarnain Zakaria telah diberi taklimat terperinci mengenai kemudahan asas disediakan dan kriteria pematuhan Protokol Covid-19.
Selain itu, semua delegasi hadir turut mendapat penerangan lengkap berkenaan situasi terkini di pusat pendidikan tersebut selain meneliti kriteria pematuhan penjarakan sosial ditetapkan dalam kelas, makmal, dewan makan dan asrama serta semua kemudahan lain disediakan.
Mengulas mengenainya, Mohamed Farid selaku Ahli Majlis MARA, berpuas hati dengan persedian awal diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar terjamin sepanjang penularan Covid-19.
“Selain positif dengan semua persediaan dibuat, dan sempat luangkan masa berbual dengan wakil Nor Farah dan beberapa pelajar sambil sarankan semua mereka mematuhi protokol Covid-19.
“Saya turut berpeluang memberi kata semangat kepada semua anak-anak terpilih ini untuk belajar bersungguh-sungguh dalam persediaan mereka menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan awal Januari depan,” katanya.
Mohamed Farid juga menzahirkan kekagumannya terhadap semangat tinggi ditunjukkan pelajar dalam usaha mencapai keputusan cemerlang di dalam SPM walaupun terpaksa bergelut dengan situasi norma baharu ketika ini.
Secara keseluruhan, katanya, sejumlah 53 buah MRSM dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di seluruh negara, antara pusat kecemerlangan pendidikan diwujud bertujuan memberi peluang pembelajaran terbaik kepada pelajar cemerlang terutamanya dari golongan rakyat B40.- MalaysiaGazette