KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) akan membuat laporan polis besar-besaran di seluruh negara berhubung kulit sebuah buku yang disunting penulis, Kean Wong mempamerkan logo mirip Jata Negara yang diubahsuai.
Presidennya, Aminuddin Yahya berkata, perbuatan biadab itu telah menyemarakkan kemarahan rakyat yang mahu pihak terbabit diambil tindakan dan dihadap ke muka pengadilan.
“Rakyat marah apabila penghias muka hadapan buku genre politik ini memaparkan Jata negara yang telah diubahsuai menjadi bentuk jelek dan sangat menghinakan.
“Rakyat sudah muak dengan provokasi dari politik, apatah lagi melibatkan lambang negara. Penerbit dan pengarangnya layak dikenakan tindakan kerana mempermainkan atau bersubahat mempermainkan Jata negara.
“Ini lambang atau simbol negara, bukan barang mainan. Perlakuan ini melanggar Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan tidak Wajar) 1963. Oleh itu, laporan polis akan dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kulit buku bertajuk, ‘Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia’ telah menimbulkan kegusaran orang ramai kerana secara terang-terangan mempermainkan Jata negara.
Buku disunting Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan buku dan turut dikongsi di pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books.
Menurut Aminuddin, beliau lebih cenderung perbuatan itu disengajakan kerana mustahil penerbit tidak tahu atau terlepas pandang.
Malah, tegasnya, editor buku itu adalah aktivis tegar bagi memansuhkan akta hasutan dan berusaha rapat dengan kerajaan terdahulu untuk menjayakan agenda, di mana beliau banyak keluar di televisyen bersama menteri.
“Saya difahamkan buku ini juga pernah dipromosi dan diwacanakan di sebuah televisyen swasta satu ketika dahulu dan saya tidak tahu mengapa kita terlepas pandang ketika itu. Apakah mungkin terlalu banyak isu lebih besar timbul sehingga terlepas pandang?
“Difahamkan juga buku ini sudah dijual di kedai buku di luar negara seperti Australia. Alangkah malunya negara apabila Jata negara dipermainkan dan menjadi tatapan orang luar dengan bangganya.
“Sekarang, buku ini sedang galak dipromosikan di kedai buku utama dalam negara walaupun sudah lama diterbitkan. Saya tidak pasti mengapa baru sekarang buku ini dipromosikan dan tular,” katanya.
Beliau berkata, ini bukan pertama kali lambang negara dipermainkan, termasuk Jalur Gemilang yang dipasang dan dikibarkan secara terbalik.
Itu belum lagi mengenai persendaan bahasa kebangsaan, yang pastinya datang dari golongan subversif, tidak suka identiti negara dan berazam untuk mengubahnya.
“Saya harap rakyat terus memerhati apa yang berlaku di sekeliling. Warganegara Malaysia yang sejati pasti sensitif dengan provokasi begini.
“Tidak melayan atau berdiam diri hanya akan menyebabkan diri dan orang sekeliling hilang sensitiviti terhadap lambang negara yang sedikit demi sedikit menghakis semangat patriotik.
“Jika hari ini kita biarkan mereka permainkan Jata negara, mana tahu esok lusa mereka berani permainkan pula Jata Diraja,” katanya.
Beliau turut meminta rakyat Malaysia bangkit dan membuat laporan polis beramai-ramai, termasuk menggerakkan rakan aktivis NGO untuk berbuat demikian. – MalaysiaGazette