BARCELONA – Pemain Barcelona bertikam lidah dengan pengurus pasukan, Quique Setien, pasukan itu terikat 2-2 dengan Celta Vigo pasa awal pagi semalam.
Keputusan itu menyaksikan Barcelona keciciran mata dan musuh tradisinya Real Madrid melonjak ke tangga teratas La Liga.
Pada perlawanan itu, Luiz Suarez menjaringkan dua gol untuk the Catalans.
Para pemain Barcelona mahu pengurus pasukan bertanggungjawab ke atas keputusan itu dan aksi mengecewakan di tempat lawan.
Dalam enam aksi di tempat lawan sebelum ini Barcelona hanya menang dua perlawanan.
Semalam, laporan mendakwa pertelingkahan tercetus antara pemain dan pengurus di bilik persalinan.
Kebanyakan pemain mempertikaikan tindakan jurulatih membawa masuk Antoine Griezmann menggantikan Suarez semasa perlawanan berbaki 10 minit.
Malahan dikatakan ini bukan kali pertama pemain berbalah dengan Setien berhubung strategi taktikal permainan.
Pada perlawanan itu, Suarez meletakkan pasukannya di hadapan menerusi rembatan kencang pada minit ke-20 pada separuh masa pertama sebelum pemain pasukan tuan rumah, Fyodor Smolov menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun 15 minit kemudian, Suarez sekali lagi membawa Barcelona di hadapan dengan jaringan kedua.
Namun Barcelona sekali lagi dikecewakan untuk meraih tiga mata apabila bekas pemain Liverpool, Iaga Aspas menyamakan kedudukan dua minit sebelum permainan berakhir.
Selepas tamat perlawanan, Suarez terus menuding jari ke arah beberapa individu yang harus bertanggungjawab terhadap keputusan yang mengecewakan itu.
Ditanya kenapa Barcelona keciciran mata sekali lagi di tempat lawan, Suarez berkata:”Itulah sebabnya jurulatih ada di sini untuk analisis situasi dan memberikan yang terbaik di atas padang.
“Kita telah keciciran mata penting dalam setiap aksi di tempat lawan yang mana tidak pernah berlaku dalam musim sebelum ini,”. – MalaysiaGazette