KUALA LUMPUR – Bayaran Fasa 3 Bantuan Sara Hidup atau BSH di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak (yang bukan kawasan pedalaman) akan dibuat sebelum akhir bulan Julai.
Pembayaran itu melibatkan 5 juta penerima iaitu 3.8 juta isi rumah dan 1.2 juta individu bujang.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pembayaran itu melibatkan peruntukan sebanyak RM3 bilion.
Penerima bantuan ini bergantung kepada pendapatan masing-masing.
Isi rumah dengan pendapatan RM2,000 ke bawah menerima RM600, antara RM2,001 – RM3,000 (RM350), antara RM3,001-RM4,000 (RM100) dan bujang 40 tahun ke atas dengan pendapatan RM2,000 ke bawah menerima RM400.
Menurutnya, penerima kategori isi rumah juga akan menerima tambahan bantuan RM120 bagi setiap anak (bawah 18 tahun) maksimum 4 orang anak.
Contohnya, isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 dengan 4 orang anak akan mendapat RM1,080
Tambah beliau, pelaksanaan pembayaran secara tunai BPN dan fasa kedua dan fasa ketiga BSH 2020 bagi kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak (tiada akaun bank) akan bermula pada 1 hingga 31 Julai 2020 dengan diselaraskan oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMSabah) dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak (PMSarawak).
Usaha ini bakal memanfaatkan 53,325 penerima dengan pecahan 41,995 di Sarawak dan 11,330 di Sabah dengan peruntukan kewangan RM28.7 juta.
PMSabah dan PMSarawak akan turun ke lokasi-lokasi yang ditetapkan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak bagi memudahkan urusan penerima di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette