BACHOK – Empat ditemukan lemas, empat masih hilang manakala 12 lagi selamat dalam tragedi bot terbalik di perairan Bachok, 8.30 malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad berkata, dalam kejadian tersebut bot dinaiki 20 pemancing termasuk tekong terbalik akibat dibadai ribut dan ombak besar.
Kejadian di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin.
Berdasarkan maklumat, bot berkenaan pada mulanya dipukul ribut menyebabkan sauhnya terputus, sebelum dibadai ombak besar dan terbalik.
“Sejurus itu, 12 daripada mangsa diselamatkan bot nelayan yang berada berhampiran, manakala empat lagi disahkan meninggal dunia.
“Sehingga kini baki empat mangsa lagi masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),” katanya.
Abdullah berkata identiti mereka sedang dikenal pasti.
Maklumat awal menunjukkan bot terbabit dikatakan berlepas dari jeti Kuala Besar kira-kira jam 3 petang untuk aktiviti memancing dan menyandat sotong.
Sebanyak 12 mangsa yang terselamat tiba di jeti pangkalan Kuala Kemasin kira-kira jam 2.15 pagi bersama dua mayat.
Mayat dua lagi mangsa bagaimanapun dibawa pulang ke jeti menggunakan bot berasingan. – MalaysiaGazette