Jabatan Alam Sekitar

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Kastam menahan sebuah kontena mengandungi bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Jun lalu.

Pemeriksaan dan siasatan JAS mendapati syarikat pengimport kontena berkenaan adalah pihak yang sama mengimport tiga buah kontena bahan buangan elektrik dan elektronik dari Amerika Syarikat (AS) pada 16 April, 14 Mei dan 3 Jun lalu.

Berikutan itu ketiga-tiga buah kontena itu juga telah ditahan oleh Jabatan Kastam.

“E-waste diklasifikasikan sebagai buangan berbahaya di bawah Konvensyen Basel dan dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan polisi semasa melarang sama sekali pengimportan buangan terjadual seperti e-waste ke Malaysia,” kata Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, JAS kemudiannya mengarahkan semua kontena itu  dihantar pulang ke negara asal.

“Sehingga 26 Jun 2020, sebanyak dua daripada empat kontena tersebut telah berjaya dihantar pulang,” tambah kementerian itu.

Notis telah dikeluarkan kepada dua pemilik syarikat serta dua lagi syarikat perkapalan yang bertanggungjawab membawa masuk semua kontena berkenaan, katanya.

“Kontena ini didapati dilakukan tanpa mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Konvensyen Basel di Malaysia iaitu JAS.

“Pihak Competent Authority di Amerika Syarikat juga telah dimaklumkan mengenai pengimportan haram ini walaupun negara berkenaan bukan pihak kepada Konvensyen Basel,” kata kenyataan itu lagi.

Konvensyen Basel perjanjian antarabangsa yang mengawal pergerakan merentasi sempadan bahan buangan berbahaya melalui prinsip Prior Informed Consent (PIC), yang mana negara pengeksport hendaklah mengemukakan notifikasi kepada negara pengimport dan mendapat kebenaran bertulis dari negara pengimport terlebih dahulu sebelum sebarang pergerakan merentasi sempadan dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, kementerian itu tidak akan berkompromi terhadap isu menjadikan Malaysia sebagai lokasi pemprosesan dan pelupusan bahan buangan terjadual dari negara luar tanpa sebarang kebenaran. – MalaysiaGazette