JOHOR BAHRU – Dua pekerja mengalami kecederaan ringan akibat letupan gas pemampat peti sejuk di sebuah pasar raya di Pusat Perdagangan Maharani, dekat Muar, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II KUP Zamri Ayub berkata, kejadian berlaku ketika Edwin Palatus, 30, dan Elby Monni, 19, yang merupakan pekerja dari sebuah syarikat kontraktor, sedang menyelenggara peti sejuk di pasar raya itu.

Beliau berkata, lima jentera dari BBP Tangkak serta Muar bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamat selepas Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada pukul 4.54 petang.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang melibatkan 27 anggota bomba termasuk dari dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), didapati benar berlaku letupan gas pemampat peti sejuk ketika peti sejuk berkenaan sedang diselenggara. Kesan letupan itu, dua lelaki cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Bernama