Kedudukan Mohamad Ariff Md Yusof bakal digantikan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menuntut pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu menepati lima ciri.

Kelima-lima ciri itu ialah menjunjung tinggi kedudukan serta kedaulatan Islam dalam Perlembagaan, menghormati serta menjunjung sistem Raja Berperlembagaan, menghormati serta menjamin hak kedudukan Orang Melayu, Bumiputera dan hak kaum-kaum lain seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Speaker yang dilantik perlu berakhlak mulia, berintegriti dan mempunyai rekod bebas rasuah serta tegas dalam menjunjung semua prinsip Rukun Negara.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya mahu semua ahli Parlimen yang diberikan hak untuk memilih Speaker Dewan untuk menghormati tuntutan ini dan melantik Speaker daripada kalangan individu yang mempunyai ciri-ciri tersebut.

BACA: Usul tukar Speaker, undi tidak percaya dan percaya pada 13 Julai

”Pembela ingin menegaskan kepada pihak kerajaan supaya tidak mempertimbangkan dan menolak dengan tegas semua individu yang dipercayai dan diyakini membawa bentuk-bentuk pemikiran yang bertentangan dengan aspirasi serta kedaulatan Islam sebagai agama bagi Persekutuan,” katanya yang mahu kerajaan mengambil serius tuntutan tersebut bagi kelangsungan dan jaminan untuk agenda Islam dan Bumiputera dapat ditegakkan melalui sistem Parlimen.

Kedudukan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof akan diganti dengan yang baharu kerana  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengusulkan Speaker dan Timbalan Speaker yang baharu untuk menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof dan Nga Kor Ming.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Azhar Azizan Harun disebut-sebut akan dilantik sebagai Speaker yang baharu jika mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.