Sudah tiba masanya buat empat penjaga gol skuad hoki lelaki negara mencipta legasi tersendiri, selepas selama ini berada di bawah bayangan S. Kumar.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya buat empat penjaga gol skuad hoki lelaki negara mencipta legasi tersendiri, selepas selama ini berada di bawah bayangan S. Kumar.

Penolong jurulatih skuad ‘Speedy Tigers’, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata keempat-empat mereka antara 31 pemain yang sedang mengikuti latihan skuad kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, perlu menunjukkan taring masing-masing.

Mereka ialah Mohammad Hairi Abd Rahman, Adrian Andy Albert, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri dan Muhamad Zaimi Mat Deris.

“Kumar memang antara penjaga gol yang terbaik dunia tetapi saya mahu penjaga-penjaga gol ini sedar, inilah masanya untuk mereka mencipta legasi.

“Selama ini Kumar telah menolong mereka. Ini masa mereka membuktikan kemampuan masing-masing, bukannya berada di bawah bayangan nama Kumar,” kata Mohd Nasihin, yang juga bekas penjaga gol kebangsaan, ketika ditemui pemberita.

Kumar, 40, yang membuat 321 penampilan untuk Malaysia sejak 1999 mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa pada 20 Feb selepas skuad hoki negara gagal ke Sukan Olimpik Tokyo. Beliau kemudian dilantik sebagai jurulatih penjaga gol skuad remaja negara.

Sementara itu, Mohd Nasihin berkata penyerang negara, Muhammad Firhan Ashari yang kembali menyertai latihan pasukan selepas hampir setahun tidak memegang kayu hoki kerana kecederaan lutut kiri, turut perlu membuktikan keupayaannya untuk meraih tempat dalam pasukan.

“Beliau sangat bermotivasi untuk kembali kepada pasukan selepas terlepas banyak kejohanan besar. Jadi ini masanya untuk beliau membuktikan keupayaannya bagi mendapat balik tempat di dalam skuad kebangsaan, dengan ketiadaan banyak pemain berpengalaman,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Firhan yang teruja memegang kayu hoki buat kali pertama selepas hampir setahun, mengakui agak kekok pada hari pertama latihan semalam, tetapi yakin mampu menyesuaikan diri dengan segera.

“Saya kena berhati-hati kerana sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, saya hanya sempat membuat latihan ringan bersama pasukan. Walaupun beberapa pemain senior tiada dalam pasukan, persekitarannya masih sama, saya kena membimbing pemain muda mendapat keserasian yang lebih baik,” katanya.- BERNAMA